ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

MELAKA – Wakil rakyat popular, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di media sosial mengakui ‘mempergunakan’ Dak Nor dan Uncle Wong dalam kandungan media sosialnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu berkata, namun tindakannya bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya bagi mempermudahkan urusan penduduk di kawasannya.

“Memang saya gunakan Uncle Wong. Kerana gunakan Uncle Wong, ramai yang offer (tawar) nak sponsor (taja) Uncle Wong alat bantuan pendengaran.

“Sudah dapat alat bantuan pendengaran, saya gunakan Uncle Wong lagi untuk buat video bantu marketing (pemasaran) syarikat yang sponsor.

“Alat pendengaran itu harga RM3,500 untuk sebelah telinga. Agak-agak berapa video yang setimpal dengan nilai sponsor?” soalnya menerusi status yang dimuat naik di Facebook (FB) rasminya hari ini.

Tangkap layar dari FB Mohd Noor Helmy

Turut dikongsikan tangkap layar daripada seorang pengguna Facebook yang menegur tindakan itu kononnya sering menggunakan orang yang sama untuk menonjolkan diri dalam politik.

Individu itu juga berkata, dia juga sudah muak dan menyampah melihat kandungan yang sering menampilkan Uncle Wong sebagai tarikan media sosialnya itu.

Status Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital itu setakat 11 pagi tadika mendapat lebih 10,000 reaksi, 1,800 komen dan 98 perkongsian.

Rata-rata pengguna menyokong cara wakil rakyat itu dan meminta kandungan sebegitu diteruskan untuk memberi kebaikan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy tidak sabar berkongsi kegembiraan warga emas kaum Tionghua itu gembira kerana sudah boleh mendengar.

“Uncle Wong dapat dengau (dengar) pun, saya macam ni juga. Tetap Uncle Wong akan tunggu depan rumah saya setiap pagi.

“Dulu saya gunakan Dak Nor juga. Macam-macam orang tolong Dak Nor lepas tu. Dari mesken hena, (miskin hina) sekarang dipuja-puja,” tambahnya.

Malah, katanya, Dak Nor sendiri sudah berjaya mengubah kehidupannya daripada seorang pesakit mental kepada pempengaruh yang mampu menjana pendapatan sendiri sehingga mendapat anugerah peringkat kebangsaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi saya dapat apa? Dapat jugalah. Dapat orang kesian (kasihan) kat (pada) saya. Orang kesian hingga tolong banyak perkara permudahkan urusan orang Duyong saya.

“Saya gunakan orang? Ya saya gunakan tapi cuma untuk perkongsian, orang yang saya gunakan selalunya untung.

“Sekian penjelasan saya. Jangan risau, saya tak makan sarang tebuan,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast