KUALA LUMPUR – Sekumpulan 14 wanita warga asing menjadi mangsa eksploitasi sebagai pekerja seks diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur (JIM KL) semalam.
Difahamkan, mereka dipaksa melacurkan diri selepas dijual teman lelaki mereka kepada rumah pelacuran di Jalan Petaling.
Pengarah JIM KL, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, ketika serbuan pukul 1.15 tengah hari itu terdapat beberapa pelanggan di dalam premis yang cuba melarikan diri.
“Kesemua mangsa yang diselamatkan berusia 18 hingga 36 tahun melibatkan 10 wanita warga Bangladesh, tiga wanita warga India dan seorang wanita warga Indonesia.
“Siasatan mendapati premis itu beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam dan pelanggan yang hadir secara ‘walk in’ dikenakan bayaran serendah RM60,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Mohammed Saupee, ketika serbuan pihaknya turut menahan 16 pelanggan lelaki terdiri daripada sembilan lelaki warga Nepal, lima warga Myanmar dan dua lelaki warga Bangladesh.
“Operasi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan wanita terbabit dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
“Susulan itu, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















