Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan penyerahan cek cura agihan dana wakaf tunai Malaysia kepada wakil Majlis Agama Islam di Kompleks Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 JULAI 2025

PUTRAJAYA – Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) hanya mampu mengumpul sekitar RM800,000 setahun, jumlah yang jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan sosial di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ridzwan Bakar berkata, kekurangan dana itu menjadi cabaran besar dalam menyalurkan bantuan kepada golongan B40, asnaf dan ibu tunggal.

Oleh itu, potongan gaji kakitangan kerajaan secara sukarela disarankan sebagai langkah praktikal bagi mengukuhkan dana wakaf.

“Berdasarkan keperluan semasa, YWM memerlukan lebih RM1 juta setahun untuk diagihkan kepada empat sektor utama iaitu pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan ekonomi.

“Tapi dengan tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah, kutipan kekal pada angka RM800,000.

“Jika potongan gaji penjawat awam dapat dilaksanakan, ia mampu menjadi sumber tetap dan konsisten untuk memperkasakan sistem wakaf di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Agihan Dana Wakaf Tunai Malaysia 2024 di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Sebanyak RM889,493.65 diagihkan kepada lapan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) melibatkan Kedah, Johor, Terengganu, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan program MyWaqaf PTPTN yang kini bergerak aktif telah membantu 88 pelajar pada fasa pertama dan 50 pelajar pada fasa kedua.

“Ini merangkumi pelajar diploma dari keluarga B40 termasuk yang bukan beragama Islam.

“Setakat ini, tiga pelajar bukan Islam telah menerima bantuan, dan paling menarik, seorang penyumbang bukan Islam turut menyalurkan dana berjumlah RM1 juta kepada yayasan, sekali gus menunjukkan wakaf semakin difahami dan diterima oleh masyarakat berbilang kaum,” tambahnya.

Ridzwan juga bercadang untuk meluaskan program MyWaqaf PTPTN ke peringkat ijazah dan doktor falsafah (PhD) sekiranya dana mencukupi pada masa hadapan.

Beliau menegaskan, wakaf bukan hanya untuk umat Islam, sebaliknya terbuka kepada semua pihak yang ingin menyumbang secara strategik untuk pembangunan masyarakat, di bawah penyeliaan MAIN.

“Kami sedang merancang pembinaan dua buah hospital wakaf dalam masa terdekat, namun projek itu memerlukan kos yang tinggi serta kerjasama pelbagai pihak.

“Potensi wakaf sangat besar. Sebagai contoh, hotel wakaf di Terengganu telah tersenarai antara 25 hotel terbaik di Malaysia pada tahun lalu bukti bahawa aset wakaf boleh berjaya jika diuruskan secara telus dan profesional,” ujarnya.

Sebagai langkah meningkatkan kesedaran masyarakat, YWM kini giat menganjurkan Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan melibatkan seminar dan forum jelajah di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast