Dua suspek seorang lelaki dan seorang wanita diiring anggota polis tiba untuk pertuduhan berhubung kes pembunuhan seorang pelajar universiti swasta di Cyberjaya, di Kompleks Mahkamah Sepang. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2025

SEPANG – Seorang penganggur dan kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung kes pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Cyberjaya, 24 Jun lalu.

Tertuduh, Sri Darvien Mathavan dan Thineswary V.Devandran, hanya mengangguk faham selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, Sri Darvien, 19, didakwa membunuh Maniishapriet Kaur Akhara, 20, di Blok A303A, Mutiara Ville, Persiaran Multimedia, Cyberjaya di sini, di antara jam 9.11 malam hingga 11.31 malam, 23 Jun lalu.

Sri Darvien yang juga seorang penganggur melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek perempuan diiring anggota polis tiba untuk pertuduhan berhubung kes pembunuhan seorang pelajar universiti swasta di Cyberjaya, di Kompleks Mahkamah Sepang. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2025

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau tidak dihukum gantung sampai mati, boleh dipenjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Sementara itu, Thineswary, 19, didakwa bersubahat dengan Sri Darvien untuk melakukan pembunuhan terhadap Maniishapriet Blok A303A, Mutiara Ville, Persiaran Multimedia, Cyberjaya di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 23 Jun lalu.

Thineswary yang juga pelajar program asasi sastera tahun pertama melakukan kesalahan persubahatan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun sama.
Suspek lelaki diiring anggota polis tiba untuk pertuduhan berhubung kes pembunuhan seorang pelajar universiti swasta di Cyberjaya, di Kompleks Mahkamah Sepang. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2025

Tertuduh boleh hukum gantung sampai mati, penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Pertuduhan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin.

Manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam M.Manoharan dan Mohamed Baharudeen Mohamed Alif.

Terdahulu Peguam Manoharan dan Mohamed Baharudeen memohon mahkamah memindahkan kes kedua-dua anak guam mereka ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A, Kanun Tatacara Jenayah.

Manoharan berkata, ini kerana Mahkamah Majistret tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes berprofil tinggi itu.

Bagaimanapun Raja Zaizul Faridah meminta mahkamah agar memindahkan kes itu selepas pihaknya memperoleh dokumen forensik, post mortem dan laporan kimia diperoleh terlebih dahulu.

Majistret kemudiannya menetapkan 11 September ini sebagai tarikh pengurusan kes bagi kedua-dua tertuduh.

Pada 24 Jun lalu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi Maniishapriet Kaur, 20, dari Sarawak, ditemui mati di unit kediaman kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan pada jam 10 pagi.

Susulan itu, beberapa suspek ditahan dalam tempoh 48 jam selepas kejadian dalam serbuan di Johor dan Melaka.

Pada 3 Julai lalu, media melaporkan tiga suspek kes pembunuhan itu disambung reman tujuh hari sehingga Khamis. Ketiga-tiga suspek itu sebelum ini direman tujuh hari bermula 27 Jun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast