KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkemungkinan besar akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung di Malaysia pada Oktober ini.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ketika ditemui oleh pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
“Ya, kemungkinan ada,” katanya ketika disoal sama Trump dijangka hadir pada sidang kemuncak itu.
Rubio turut memberitahu pentadbiran AS sedang berbincang untuk menetapkan tarikh rasmi bagi Sidang Kemuncak ASEAN-AS susulan cadangan yang dikemukakan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Sidang itu dijangka menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai isu serantau termasuk kesan keputusan Washington mengenakan tarif perdagangan secara unilateral tindakan yang menimbulkan kebimbangan di kalangan negara anggota ASEAN.
Sekiranya kehadiran Trump menjadi kenyataan, ia bakal menjadi lawatan penting beliau ke rantau ini sejak pengumuman dasar tarif baharu yang dilihat menjejaskan hubungan dagang AS dengan beberapa negara Asia Tenggara. – MalaysiaGazette
















