GEORGE TOWN – MCA Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri membatalkan sepenuhnya cadangan kenaikan tarif air dan bukan sekadar menangguhkan pelaksanaannya ke tahun hadapan.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Persediaan dan Pemantauan Pilihan Raya MCA negeri, Chan Wooi Jin berkata, langkah menangguhkan kenaikan tersebut tidak menyelesaikan masalah rakyat yang kini terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
“Persoalan utama ialah, kenapa perlu naikkan lagi tarif air? Atas dasar apa kerajaan negeri layak berbuat demikian? Kenapa setiap kali ada masalah, rakyat yang menjadi mangsa?”
“Kerajaan negeri dilihat tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan kadar inflasi yang terus meningkat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Wooi Jin, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mencatat keuntungan bersih RM144.17 juta pada 2024 sepatutnya menggunakan hasil tersebut untuk menampung kos operasi tanpa perlu membebankan pengguna.
“Lebih memalukan, tarif air telah dinaikkan pada Februari lalu. Kini, kerajaan negeri mahu naikkan lagi? Ini benar-benar tidak masuk akal,” katanya lagi.
“Tindakan menaikkan tarif air akan memberi kesan besar kepada semua isi rumah dan peniaga kecil. Sepatutnya kerajaan bantu mengurangkan beban rakyat, bukan menambah derita dengan langkah tidak berperikemanusiaan ini.
“Sehubungan itu, kita gesa cadangan kenaikan tarif air ditarik balik dan bukan sekadar ditangguh. Rakyat mahukan kelegaan, bukan hanya penangguhan terhadap penderitaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















