Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pihak berkuasa negeri Selangor akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu program motivasi rumah tangga (eHATI) bercanggah dengan agama Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap kebimbangan orang awam susulan penularan isu melibatkan pengajaran program motivasi berkenaan.

“Kita bersama pihak berkuasa agama negeri akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan maklumat diperoleh adalah jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan yang wajar diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kerajaan MADANI melalui JAKIM secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri tegas dalam menangani sebarang isu yang melibatkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.

“Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sirajuddin , pihaknya turut menyeru seluruh rakyat khususnya umat Islam agar tidak terpengaruh dengan fahaman dan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai budaya tempatan.

“Sehubungan itu, orang ramai disaran untuk sentiasa bekerjasama dengan JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri bagi menyalurkan maklumat serta informasi berkaitan isu-isu seperti ini dalam menangani sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak,” jelasnya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan satu program motivasi dan bimbingan rumah tangga dikatakan dikendalikan sepasang suami isteri didakwa menyebarkan ajaran sesat yang menyasarkan kaum hawa bekerjaya dan berdepan krisis rumah tangga.

Bekas ahli program itu menerusi akaun Facebooknya mendedahkan, ajaran itu dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita. 

Tambahnya, pasangan terbabit didakwa mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Program motivasi didakwa sebar ajaran sesat, benarkan suami peluk wanita lain

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast