KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC mengikat penyerang muda dari Jepun, Mio Tsuneyasu sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Super yang akan bermula pada 8 Ogos depan.
Tsuneyasu, 23, akan memperkuatkan jentera serangan skuad Hobin Jang Hobin bimbingan Nidzam Jamil selepas tiba secara pinjaman dari kelab divisyen tiga Jepun, Gainare Tottori.
“Dari Jepun ke Negeri. Mio Tsuneyasu datang dengan visi, disiplin dan DNA pejuang! Padang akan jadi gelanggang samurai!
“Memperkenalkan pemain import baharu #TheJangs yang akan perkuat jentera serangan musim ini, MIO TSUNEYASU!
“Berusia 23 tahun, Mio melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke Negeri Sembilan FC dari kelab J3 Jepun, Gainare Tottori.
“Selain boleh bermain posisi sayap kanan, Mio juga mampu beraksi di sayap kiri dan penyerang kedua.
“Perpindahan Mio turut menjadi sebahagian dari jalinan kerjasama antara NSFC dan Gainare Tottori,” tulis kelab itu di media sosialnya di sini.
Sebelum ini, Negeri Sembilan mengekalkan dua pemain tengah import musim lalu – Takumi Sasaki dari Jepun dan An Sang Su dari Korea Selatan. – MalaysiaGazette
















