Mohd Shahzihan Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pernah memanggil penganjur eHATI pada tahun 2022 selepas menerima aduan daripada bekas peserta selepas modul program motivasi rumah tangga itu didakwa tidak wajar dan sesuai oleh peserta.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, berdasarkan aduan tersebut, penganjur eHATI telah dipanggil oleh Panel Pendengaran di bawah Jawatankuasa PengawalanAkidah, Majlis Agama Islam Selangor dan telah diminta mengubah beberapa modul agar menepati syarak.

Namun, katanya, Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS tidak menerima apaapa aduan mengenai kejadian yang berlaku di IDCC Shah Alam pada 27 hingga 30 September 2024.

Meskipun begitu, JAIS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama bagi menjalankan siasatan berhubung program tersebut.

“JAIS akan melakukan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut seperti didakwa. JAIS akan melakukan siasatannya mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (doktrin palsu) kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” katanya dalam kenyataan di sini.

Susulan itu, JAIS akan memanggil beberapa individu pada Selasa depan, 15 Julai 2025 untuk membantu siasatan.

“JAIS memandang berat perkara seumpama ini dan akan mengambil segala langkah perlu untuk membendung serta membanteras apa juga aktiviti yang bertentangan dengan hukum syarak serta nilai etika yang ditolak oleh sesiapa pun di negeri Selangor dan negara ini umumnya.

Pada masa sama, JAIS berharap dan memohon kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang program eHATI agar dapat menghubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, JAIS di talian Hotline 1800-88-2424 atau hadir terus ke pejabat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Polis siasat program motivasi didakwa tidak bermoral

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast