Projek pengorekan terowong terakhir Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer telah pon disempurnakan secara rasmi, menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dengan Pelabuhan Klang ketika majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di Bentong, Pahang. Foto HARI ANGGARA, 12 JULAI 2025.

BENTONG – Kementerian Pengangkutan mencadangkan laluan asal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berakhir di Kota Bharu disambungkan hingga ke Rantau Panjang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan itu merangkumi jarak sejauh kira-kira 32 kilometer, bagi membolehkan laluan rel ini dihubungkan terus dengan jaringan kereta api Thailand.

Namun, perancangan ini masih berada di peringkat kajian dalaman dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan lanjut.

“Buat masa ini, ia belum dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerana ia merupakan projek G2G (kerajaan kepada kerajaan) di luar kerangka pembangunan biasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting, hari ini.

Projek pengorekan terowong terakhir Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer telah pon disempurnakan secara rasmi, menghubungkan Kota Bharu, Kelantan dengan Pelabuhan Klang ketika majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di Bentong, Pahang. Foto HARI ANGGARA, 12 JULAI 2025.

Selain itu, Anthony juga memaklumkan Kerajaan Thailand turut menyambut baik cadangan penyambungan semula antara Rantau Panjang dan Golok, apabila beliau bertemu dengan Menteri Pengangkutan Thailand dua bulan lalu.

Katanya, jika sambungan itu dapat direalisasikan, ia akan memperkukuh hubungan dua hala dan menambah baik konektiviti rel antara Malaysia dan Thailand, sekali gus memperluas manfaat strategik ECRL kepada rantau Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Anthony berkata, Malaysia mengiktiraf kerjasama erat dengan China dalam menjayakan projek-projek mega infrastruktur negara, khususnya ECRL yang kini menunjukkan kemajuan ketara sejak dimulakan secara rasmi melalui perjanjian kerajaan-ke-kerajaan (G2G).

Anthony Loke Siew Fook (tengah) ketika hadir bagi meninjau projek terowong ECRL selepas menyempurnakan Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di Bentong, Pahang. Foto HARI ANGGARA, 12 JULAI 2025.

“China telah membuktikan komitmen dan keupayaan tinggi dalam melaksanakan projek ECRL yang bernilai lebih RM50 bilion.

“Jika China bukan rakan kongsi yang baik, sudah tentu kemajuan projek sebesar ini tidak akan dapat dilihat pada hari ini. Pencapaian semasa ECRL membuktikan kemampuan syarikat pembinaan dari China yang berjaya melaksanakan projek secara konsisten dan mengikut jadual yang ditetapkan terutamanya bagi projek ECRL yang sebesar ini, saya yakin, mereka telah melakukan yang terbaik,” ujar beliau.

Tambah beliau, keseluruhan projek ini adalah hasil kerjasama G2G antara Malaysia dan China dengan pembiayaan projek ini telah disediakan oleh pihak China, dan bayaran hanya akan dibuat selepas kemajuan projek ini dicapai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast