BENTONG – Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan hanya akan digantung selepas siasatan menyeluruh dilakukan dan mereka didapati melakukan kesalahan serius.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan tersebut bertujuan menjaga keselamatan pengguna jalan raya tanpa mengenepikan hak pemandu untuk melalui proses siasatan yang adil dan menyeluruh.
“Bukan bermakna kalau ada kemalangan, lesen PSV terus digantung. Tidak. Mereka akan disiasat terlebih dahulu.
“Kalau siasatan mendapati mereka benar-benar bersalah dan melakukan kesalahan yang serius seperti memandu secara cuai, lesen PSV mereka akan digantung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting, hari ini.
Anthony menjelaskan, sebelum ini tindakan terhadap pemandu hanya boleh diambil selepas perbicaraan di mahkamah.
Namun proses tersebut boleh memakan masa bertahun-tahun, dan dalam tempoh itu pemandu berisiko masih dibenarkan memandu.
“Kita tidak boleh biarkan seseorang yang sudah terlibat dalam kemalangan serius terus memandu bas selama tiga, empat tahun hanya kerana kes masih di mahkamah.
“Ini membahayakan nyawa penumpang. Sebab itu kita gunakan kuasa sedia ada JPJ untuk mengambil tindakan lebih awal, tetapi ia tetap tertakluk kepada siasatan,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, Anthony mengakui wujud pelbagai pandangan termasuk daripada persatuan-persatuan pemandu dan syarikat bas, tetapi beliau menegaskan keselamatan penumpang kekal sebagai keutamaan.
“Sudah tentu ada reaksi daripada persatuan. Tapi kita tak boleh dengar sebelah pihak sahaja.
“Kita kena utamakan pandangan orang ramai yang mahukan tindakan tegas dan lebih pantas terhadap pemandu yang tidak berhemah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan syarikat pengendali bas juga tidak terkecuali daripada tindakan jika didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau cuai dalam aspek pengurusan keselamatan.
Audit dalaman akan dijalankan dan sekiranya terdapat pelanggaran SOP, lesen operasi syarikat boleh digantung.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong, menyuarakan kekesalan terhadap kecenderungan pihak tertentu menuding jari secara umum kepada agensi pelancongan berlesen setiap kali berlaku kemalangan melibatkan bas.
Menurutnya, dakwaan sedemikian adalah tidak adil dan mengelirukan kerana banyak insiden juga membabitkan bas kilang, bas sekolah dan pengendali haram tanpa lesen sah.
Nigel turut mempersoalkan arahan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menetapkan laporan kemalangan dikemukakan dalam tempoh 24 jam, dan menyifatkan tempoh itu sebagai tidak munasabah.
Dalam kenyataan sama, Naib Presiden Pengangkutan Darat MATTA, Subramaniam Kandasamy, turut merayu agar kerajaan tidak melaksanakan sebarang peraturan baharu secara tergesa-gesa tanpa rundingan bersama pihak berkepentingan.
Beliau berkata, penggantungan lesen serta-merta dan penarikan balik permit boleh memberi kesan kepada pendapatan syarikat serta kebajikan pemandu. – MalaysiaGazette
















