Oleh: Dr. Safiyah Ahmad Sabri
SEMUA orang sedia maklum profesion guru adalah sangat dihormati dan mempunyai tanggungjawab yang besar dalam bidang pendidikan. Ini termasuk golongan tenaga pengajar yang lain seperti pensyarah. Jika guru bertanggungjawab memberi pendidikan kepada murid-murid sekolah daripada kategori kanak-kanak sehingga ke peringkat remaja, pensyarah pula mengajar pelajar-pelajar yang terdiri daripada usia remaja hingga ke peringkat dewasa.
Jika dilihat kepada tanggungjawab dan bebanan tugas, kedua-dua kategori pendidikan ini mempunyai kepentingan yang sama. Peringkat sekolah adalah di mana seseorang individu itu belajar kemahiran membaca, menulis, mengira dan mula berfikir sebelum menyiapkan diri untuk belajar ke peringkat lebih tinggi dan menempuh alam dewasa.
Di peringkat pengajian tinggi pula pelajar dididik untuk membentuk identiti diri, mengenali kemampuan dan potensi diri, berfikir secara matang, berkomunikasi dengan baik, belajar membuat keputusan dan mendalami kemahiran diri sehingga melahirkan ramai golongan profesional hasil daripada pendidikan yang mereka peroleh.
Disebabkan itu, profesion yang mulia ini sentiasa dibebani dengan tugas-tugas yang berat terutamanya yang melibatkan dokumentasi dan komunikasi yang berkesan dengan murid atau pelajar dan juga ibubapa jika perlu. Ini sebenarnya bukanlah menjadi satu masalah kepada mereka yang ingin menjadikan guru atau pensyarah sebagai satu profesion.
Tetapi dari semasa ke semasa, bebanan tugas sudah semakin banyak sehingga adakalanya menjejaskan kesihatan dan mental dalam golongan ini terutamanya apabila mereka menjadi semakin sibuk sehingga membawa pulang tugas dan kerja yang perlu diselesaikan.
Baru-baru ini telah tular perbincangan tentang tuntutan pekerjaan guru setelah sebuah laporan berita mengenai usaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahukan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyediakan garis panduan bagi mengelakkan guru diganggu di luar waktu bertugas.
Ini mungkin disebabkan oleh keperluan dalam memenuhi tugas hakiki yang tidak dapat diselesaikan atau perlu diselesaikan segera atas faktor-faktor tertentu. Ironinya, golongan pensyarah sudah biasa bekerja tidak mengira waktu malam atau walau di hujung minggu.
Namun, untungnya golongan guru di sini adalah kerana dalam memikul beban tugas yang semakin bertambah ini, ada beberapa pihak seperti NUTP dan juga Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang sentiasa memperjuangkan hak dan kebajikan guru. Tetapi ia tidak berlaku bagi golongan pensyarah.
Usaha ini sangat murni dalam menjaga kualiti kehidupan yang seimbang. Namun, apakah profesion pensyarah kurang pentingnya daripada profesyen guru? Atau adakah persatuan guru lebih prihatin dan cakna dengan kemaslahatan guru berbanding persatuan pensyarah?
Antara usaha yang dilakukan bagi menjaga kebajikan dan hak guru yang telah berjaya dilaksanakan adalah semakan semula gaji guru dan hasilnya gaji guru dinaikkan dan jika dilihat, sudah semakin sama dengan gaji asas pensyarah yang mempunyai latar pendidikan Doktor Falsafah (PhD) yang baharu. Mungkin ramai yang tidak menyedari untuk sampai kepada kelayakan pendidikan tersebut memerlukan banyak usaha, pengorbanan, wang ringgit serta masa untuk mencapai tahap tersebut. Di sinilah perbezaan yang boleh dilihat di antara profesyen seorang guru dan pensyarah.
Akan tetapi, mungkin banyak pihak yang tidak cakna kepada pengkajian semula gaji pensyarah yang sudah terlalu lama tidak berubah. Perbincangan mungkin hanya berlaku di tempat kerja atau di kedai-kedai kopi, namun perkara ini perlu seiring dengan usaha dan tindakan oleh pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan persatuan pensyarah seperti Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).
Persoalannya mungkin termasuk adakah ini disebabkan oleh jurang perbezaan yang tinggi dalam kalangan pensyarah senior dan berpangkat tinggi seperti profesor dengan pensyarah biasa?
Adakah ini telah menyebabkan mereka terlupa tentang perubahan kos sara hidup masa kini dan bebanan tugas yang semakin tinggi yang jauh berbeza berbanding dahulu dan gaji masih berada di takuk yang sama setelah sekian lama?
Walaupun pelbagai usaha dan bantuan telah disediakan oleh pihak kerajaan, NGO,
komuniti tempatan dan lain-lain lagi, usaha yang sering mendapat tumpuan biasanya memfokus kepada golongan B40 sehingga isu gaji minimum sering kali menjadi perbualan dan perdebatan. Sedangkan pada masa yang sama, kesan cukai dan kos sara hidup ini juga telah menjejaskan kelangsungan hidup golongan M40 yang berada dalam kumpulan 40% pertengahan dari segi pendapatan.
Sejak dari dahulu sehingga kini, profesyen pensyarah sentiasa dipandang tinggi dari segi gaji yang diperoleh tetapi ramai juga yang tidak tahu bahawa profesion ini juga semakin dibebani dengan tugas yang tidak pernah berhenti sehingga adakalanya menyelesaikan tugas pada hujung minggu juga sudah menjadi kebiasaan. Para pensyarah sepatutnya merasa bangga kerana amalan tugas yang sentiasa banyak ini sudah lama menjadi tradisi tetapi rungutan jarang sekali diketengahkan.
Mungkin sudah sampai masanya jika pihak-pihak berwajib mengambil kira tentang kebajikan pensyarah juga sekurang-kurangnya dengan mengkaji semula pendapatan
pensyarah yang telah lama tidak berubah berbanding guru. Ini kerana tugas pensyarah tidak hanya mengajar, tetapi juga perlu menulis jurnal dan buku setiap tahun, konsultansi, persidangan, mencari geran, membuat penjanaan, penyeliaan tesis, berhubung dengan industri dan membuat penyelidikan bagi mencari solusi masalah dalam pelbagai sektor bidang dan banyak lagi.
Malah, kos penerbitan dan persidangan yang mahal perlu ditanggung sendiri oleh pensyarah sedangkan ia merupakan salah satu pengukur KPI pensyarah. Mungkin dengan keprihatinan ini akan mengurangkan rasa terpinggir dan lebih memotivasikan golongan pensyarah dari segi fizikal dan mental untuk terus berbakti dan seterusnya menghasilkan mahasiswa mahasiswi cemerlang pada masa akan datang.
Penulis adalah Ketua Program/Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia
















