SANDAKAN – Seorang lelaki terkejut melihat seekor buaya sepanjang satu meter setengah berada di bawah rumahnya di Rancangan Rumah Murah Simsin, di sini semalam.
Lelaki berusia 54 tahun itu kemudiannya segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi mendapatkan bantuan kerana bimbang keselamatannya dan penduduk sekitar terancam.
Jurucakap Angkatan Awam (APM) berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 6.47 petang dan tiba di lokasi pada jam 7.12 malam.
Katanya, pasukan dengan kekuatan tujuh anggota itu menjalankan operasi menggunakan penjerut khas.
“Difahamkan, kerja menangkap reptilia itu mengambil masa kira-kira 25 minit sebelum pasukan berjaya menjinakkan buaya tersebut dengan menutup mata menggunakan selimut serta mengikat kaki dan tangannya.
“Operasi berjalan lancar tanpa sebarang kemalangan jiwa dan buaya seberat 15 kilogram itu kemudian dipindahkan ke kawasan lebih selamat,” katanya. -MalaysiaGazette
















