Hassan merakam kenangan bersama-sama peniaga berdialog semasa lawatan kerja bersama-sama Persatuan Peniaga Kecil Masai di Pekan Masai, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Sembilan ahli Parlimen yang mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman tidak perlu digantung keahliannya kerana hanya akan mengeruhkan keadaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menghormati perbezaan pandangan dalam parti yang disuarakan mereka.

“PKR perlu menghormati hak mereka untuk berbeza pandangan atau cadangan yang diberikan dengan mengkritik kerajaan.

“Tidak perlu tindakan disiplin, ini (pecat mereka) bukan kaedah yang sesuai. Jadi saya tidak bersetuju dengan cadangan 19 ketua cabang PKR di Johor untuk menggantung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja bersama-sama Persatuan Peniaga Kecil Masai di Pekan Masai di sini hari ini.

Sebelum ini, Rafizi serta lapan lagi ahli Parlimen (MP) PKR lain telah menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berkait pelantikan dalam institusi kehakiman.

Langkah itu dibuat bagi mengenal pasti pihak yang benar-benar bersetuju atau tidak bersetuju dengan usaha menegakkan integriti institusi kehakiman melalui satu siasatan yang bebas dan berwibawa.

Susulan itu, 19 ketua cabang PKR di Johor mendesak sembilan ahli Parlimen tersebut digantung keahliannya kerana bukan sahaja melanggar disiplin dan etika parti malah, memberi tanggapan buruk terhadap kepimpinan perdana menteri.

Mengulas lanjut, Hassan memohon pucuk pimpinan untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka, sebaliknya mengadakan pertemuan dengan mereka untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

Jelasnya, adalah tidak wajar apabila parti politik yang demokratik seperti PKR tidak mendengar suara atau kritikan daripada ahli atau bekas pemimpin parti.

“Isu ini bukan isu disiplin, ini isu pandangan, jumpa mereka cari solusi cara baik, jangan sampai digantung. Kita mesti terus bersatu dan bukan pecah belah,” ujar bekas Pengerusi PKR Johor itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast