NIBONG TEBAL – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengingatkan warga pendidik supaya berhati-hati dalam menyertai sebarang program motivasi anjuran pihak luar yang tidak diketahui keberkesanan serta kandungannya.
Jelas beliau, kementeriannya sudah pun menyediakan pelbagai bentuk program pembangunan dan motivasi untuk guru termasuk sokongan kaunseling yang lebih sesuai serta berpandukan objektif pendidikan.
“Saya ingin menasihatkan guru-guru agar tidak sewenang-wenangnya terlibat dalam program motivasi luar yang tidak jelas dari segi pengisian dan substansinya.
“Kalau guru-guru rasa tidak cukup motivasi, datang jumpa saya. Saya boleh beri motivasi,” katanya ketika diminta mengulas serta memberi nasihat kepada warga pendidik sekiranya terlibat dengan program motivasi rumah tangga (eHATI) yang menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.

Terdahulu, Fadhlina mengadakan sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Widuri di Sungai Bakap di sini hari ini bagi melihat keberkesanan Program Anak Kita.
Menurut Fadhlina, tumpuan sewajarnya perlu diberikan kepada usaha membina kekuatan dan semangat pendidik dalam ekosistem pendidikan sedia ada yang lebih terarah dan selamat.
“Kita tidak mahu guru-guru terbabit dengan program-program yang boleh menimbulkan keraguan atau menjejaskan integriti profesion perguruan. Banyak program pembangunan dalaman yang kita sediakan.
“Jadi nasihat saya, berhati-hati. Elakkan daripada menyertai program-program luar yang tidak sesuai. Tumpukan kepada motivasi dalam pendidikan kita, Insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung program motivasi rumah tangga dikenali sebagai eHATI yang didakwa mengandungi unsur mencolok mata serta bercanggah dengan ajaran Islam.
Berikutan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan siasatan terhadap pasangan yang dikaitkan dengan penganjuran program berkenaan sedang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). – MalaysiaGazette
















