Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi (tengah), bergambar selepas selesai Forum Awam: Integriti Kehakiman di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM). Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Siasatan polis di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak boleh dijadikan satu-satunya reaksi mewakili kerajaan.

Sebaliknya menurut Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, kerajaan masih perlu memberi penjelasan bagi menangani isu kehakiman termasuk pelantikan hakim yang berlegar baru-baru ni.

“Kalau polis siasat mungkin berdasarkan laporan polis yang dibuat sebelum ini oleh Tan Sri Terriruddin (Mohd Salleh) kalau laporan tentang kebocoran memang itulah tanggungjawab polis untuk siasat.

“Cuma, siasatan polis kalau hanya berkaitan kebocoran dokumen OSA, tidak sama dengan tanggungjawab kerajaan untuk menjawab dan menangani isu ini,” katanya kepada pemberita Ketika ditemui selesai Forum Awam: Integriti Kehakiman di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) malam tadi.

Jelas Rafizi, ketiadaan penjelasan hanya akan mengundang reaksi negatif kepada kerajaan.

“Kalau contohnya, reaksi kerajaan dilihat hanya melalui siasatan polis melalui kebocoran dokumen jadi itu sudah tentu akan menyebabkan rakyat akan ada tidak akan beza dengan sebelum ini,” tambahnya.

Terdahulu Rafizi yang menjadi salah seorang daripada panel forum pada malam tadi meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meneruskan pelantikan hakim sebaliknya mengikuti pencalonan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Jika sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) akan berdepan kesan buruk apabila berisiko besar kehilangan kepercayaan daripada rakyat umumnya dan pengundi khususnya.

“Saya juga berharap my dear PM jangan tolak ke tepi (isu ini) beliau boleh jelaskan kepada ahli Parlimen, menteri Kabinet dan umum tapi isunya adalah kalau beliau teruskan pelantikan ia akan merosakkan legasi.

“Orang akan ingat Anwar Ibrahim buat u-turn dalam isu kehakiman, what a waste,” katanya.

Tambahnya, tindakan bersuara mengenai isu itu adalah kerana mahu Anwar membuat tindakan yang betul dan mengekalkan kepercayaan rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast