Dr Massila Kamalrudin

MELAKA –  Keputusan Mahkamah Tinggi Melaka baru-baru ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan seorang pensyarah, Azlianor Abdul Aziz dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Permohonan semakan kehakiman ini adalah berkaitan dengan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 11 Tahun 2024 dan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 23 Tahun 2024 yang masing-masing memperkenalkan sistem baharu penilaian prestasi pensyarah UTeM termasuk penetapan KPI penerbitan jurnal berindeks dan pendekatan kaedah pemarkahan dalam Laporan Penilaian Prestasi tahunan (LPPT).

Pemohon Azlianor melalui Tetuan Azam Aziz & Co. telah memohon agar mahkamah membatalkan kedua-dua pekeliling tersebut atas alasan pelaksanaannya bertentangan dengan hak asasi di bawah Perkara 6(2), 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan serta mendakwa ianya bercanggah dengan Seksyen 8 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Perkara 4(1)(r) Perlembagaan UTeM.

Permohonan itu bagaimanapun telah ditolak oleh Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis dengan kos sebanyak RM15, 000 yang memutuskan pihak pemohon tidak berjaya menunjukkan sebarang kecacatan undang-undang.

Pada masa yang sama, mahkamah turut memutuskan UTeM mempunyai kuasa untuk menggubal dan melaksanakan dasar dalaman selaras dengan objektif institusi dan kepentingan awam.

Terdahulu pemohon turut memohon agar pelaksanaan kedua-dua pekeliling tersebut digantung sementara menunggu keputusan semakan kehakiman dan mahkamah turut menolak permohonan penggantungan tersebut pada 18.12.2024 dengan alasan bahawa ia akan menjejaskan pentadbiran dan kelancaran operasi universiti.

Sehubungan itu, mahkamah telah mengarahkan pemohon membayar kos sebanyak RM2,000 kepada responden dalam permohonan penggantungan tersebut.

Selain itu, mahkamah turut menolak lima afidavit tambahan yang difailkan oleh individu yang tidak dinamakan dalam permohonan asal.

Keputusan itu juga selari dengan komitmen universiti untuk memastikan amalan kecemerlangan akademik terus diperkukuh melalui mekanisme yang sah dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Mengulas tentang keputusan itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, keputusan itu bukan sahaja memperkukuh keabsahan dasar universiti, malah menjadi titik tolak kepada komitmen berterusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Pelaksanaan pekeliling ini merupakan tindak balas strategik kepada dapatan laporan Jabatan Perkhidmatan Awam dan penilaian KPI Kementerian Pendidikan Tinggi yang menunjukkan prestasi penerbitan dalam kalangan pensyarah yang perlu dipertingkatkan.

Katanya, UTeM sama sekali tidak pernah bersikap zalim kepada warga akademiknya, sebaliknya pelaksanaan ini adalah usaha memperkasa tanggungjawab dan budaya kecemerlangan akademik melalui penulisan ilmiah yang berimpak.

Mengulas lanjut, Massila menyatakan kedua-dua pekeliling tersebut dikeluarkan bagi maksud meningkatkan jumlah penerbitan artikel jurnal sekaligus mengalakkan persaingan sihat dengan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang lain.

“Seterusnya komitmen tersebut juga amat penting kerana ia turut menjadi penyumbang langsung dalam usaha melonjakkan penarafan UTeM di peringkat global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast