NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah di seluruh negara dengan menekankan bahawa kebajikan murid dan guru sentiasa menjadi keutamaan utama.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah menerima sokongan penyelenggaraan secara berkala.
Manakala bagi isu infrastruktur yang lebih serius seperti kerosakan struktur atau keperluan baik pulih besar, siasatan rapi akan dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan, katanya.

“Apa yang perlu ditekankan ialah kita tidak berkompromi dalam soal keselamatan bangunan sekolah. Ini adalah komitmen kita sejak awal memastikan semua sekolah diselenggara dengan baik dan sebarang bangunan yang berada dalam keadaan uzur perlu diambil tindakan segera kerana ia melibatkan persekitaran pengajaran yang mesti selamat dan kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Widuri di Sungai Bakap di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sebarang isu berkaitan penyelenggaraan perlu dirujuk segera kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan lanjut.
Katanya, pihak pentadbir sekolah juga perlu memainkan peranan aktif dalam meneliti serta mengemukakan isu berkaitan keselamatan dan penyelenggaraan bangunan.
“Pentadbir sekolah perlu turut komited dalam menangani isu berkaitan penyelenggaraan dan keselamatan. Dalam hal ini, kita pandang perkara ini secara serius. Keutamaan kita adalah untuk memastikan sekolah kekal selamat dan kondusif sebagai tempat pembelajaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















