Zulkefli cedera parah selepas ditikam dan dikelar lelaki warga Myanmar dan kini masih dirawat di HSI, Johor Bahru,

 

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu teksi berstatus orang kurang Upaya (OKU) cedera parah selepas ditikam dan dikelar lelaki warga Myanmar dalam kejadian di pekarangan sebuah hostel pekerja warga asing di Desa Cemerlang di sini kelmarin.

Mangsa, Mohd Zulkefli Mydin, 40, berkata, kejadian tersebut berlaku semasa menunggu penumpang di perhentian teksi Jalan Kenanga, Desa Cemerlang pada pukul 10.30 malam.

“Saya didatangi lima hingga enam warga asing dipercayai dari Myanmar dan Nepal yang berada dalam keadaan sangat mabuk.

“Mereka kelihatan tidak dapat membuat keputusan sama ada mahu menggunakan perkhidmatan teksi atau tidak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia kemudian menasihati warga asing itu agar tidak mengganggu jika tidak mahu menaiki teksi lalu berlaku sedikit pertengkaran mulut sebelum mereka beredar.

Kira-kira 20 minit kemudian penumpang lain datang dan dia menghantarnya ke Jalan Maju 1 di desa berkenaan sebelum bertemu semula lelaki warga asing mabuk tersebut di situ.

Warga asing mabuk itu katanya, menyedari kehadiran dia dan memanggilnya dengan nada provokatif sebelum dia menghampiri dan bertanya apa masalah lelaki warga asing tersebut.

“Lelaki warga asing itu kemudian menyerang saya secara tiba-tiba dengan menggunakan pisau. Dia menikam saya di bahagian perut dan belakang paha kiri dengan sangat dalam. Pergelangan tangah kiri saya juga dikelar.

“Pada masa itu rakan saya yang juga pemandu teksi ada berhampiran cuba membantu namun namun turut diserang dan ditikam di bahagian perut, punggung dan dikelar bahagian dada,” katanya.

Dia mendakwa, kecederaan yang dialami amat serius dan menyebabkan kehilangan darah yang banyak semasa kejadian.

Sementara itu, isteri mangsa, Syakilla Sulaiman, 32, berkata, suaminya masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini dan kecederaan dialami sangat serius dan kritikal.

“Menurut pihak hospital luka tikaman tembus di kawasan epigastric, mengalami luka oyakan dalam di bahagian belakang paha kiri dan luka koyakan dalam pada pergelangan tangan kiri serta kehilangan darah yang sangat banyak.

“Suami saya berkemungkinan besar akan mengalami hilang upaya kekal khususnya akibat kecederaan dalam yang parah pada bahagian paha kiri,” ujarnya.

Suri rumah kepada empat anak berusia 4, 7,9 dan 11 tahun itu berkata, suaminya merupakan seorang pemegang kad OKU akibat kecederaan kekal yang dialami pada kaki kanan sejak 14 tahun lalu.

Menurut Syakilla, walaupun dalam keadaan kurang upaya Zulkefli tetap berusaha menyara keluarga dengan bekerja sebagai pemandu teksi.

Tambahnya, suspek yang menikam suaminya itu dimaklumkan sudah pun diberkas polis.

Bagi yang ingin membantu keluarga Zulkefli boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank atas nama Syakilla Sulaiman 151333070048.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis kejadian tersebut.

“Mangsa mempunyai kad OKU kerana pernah mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya iaitu tempang kaki kanan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast