Datuk Mohd. Zaid Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berpandangan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar juga patut digantung daripada parti itu susulan menyertai perarakan berkait kebebasan kehakiman hari ini.

Menurut beliau, tindakan gantung daripada PKR itu sama seperti yang harus dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengadakan sidang akhbar berkenaan krisis institusi kehakiman sebelum ini.

Menurutnya, adalah jelas sama ada Nurul Izzah atau Rafizi telah melanggar mana-mana peruntukan disiplin PKR susulan tindakan mereka tersebut.

Malah daripada sudut politik juga, tindakan kedua-dua pemimpin PKR berkenaan dilihat seolah-olah mencabar kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempersoalkan kredibiliti kerajaan dalam isu yang sangat penting.

“Nurul Izzah mesti jelas, adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dicadangkan ditubuhkan hanya bertujuan mengenal pasti `hakim kanan’ yang terlibat dalam dakwaan campur tangan? Itu sangat mudah.

“Atau adakah ia bertujuan menyiasat penyalahgunaan sistemik, termasuk kemungkinan bahawa Perdana Menteri atau pejabat beliau telah melengahkan, menghalang atau campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim tertinggi?

“Itu akan menjadi sesuatu yang menggemparkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Sementara itu, kata Zaid, Nurul Izzah juga perlu jelas berhubung skop perjuangannya dalam isu krisis kehakiman itu termasuk sama ada RCI yang mahu ditubuhkan akan menyiasat kenapa cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) diabaikan atau dilengahkan.

Atau, tambah beliau, sama ada RCI itu akan menyiasat sekiranya wujud pertimbangan politik yang mempengaruhi pelantikan Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan baharu.

“Adakah RCI itu akan melihat sama ada Perdana Menteri iaitu bapanya sendiri memainkan peranan dalam melengahkan atau mengetepikan cadangan pelantikan hakim-hakim kanan?” soalnya lagi.

Tambah beliau, sekiranya penyertaan Nurul Izzah dalam perarakan hari ini sekadar untuk meraih sokongan daripada para peguam maka tindakan itu disifatkan hanya sebagai publisiti murahan.

“Nurul Izzah mesti menyokong satu RCI yang benar-benar bebas dan menyeluruh walaupun itu bermaksud Perdana Menteri juga perlu disiasat.

“Jika tidak, tindakannya itu hanya kelihatan sebagai satu helah untuk melindungi Anwar,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah turut dilihat menyertai perarakan Walk to Safeguard Judicial Independence bersama sekumpulan peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula pukul 12.30 tengah hari tadi di Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Perhimpunan dan perarakan sejauh 2.6 kilometer yang digerakkan Badan Peguam Malaysia itu bagi menuntut beberapa perkara termasuk isu membabitkan jawatan tertinggi kehakiman; pendedahan minit mesyuarat JAC; membentuk RCI untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast