Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

KUALA LUMPUR – Siasatan polis terhadap dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) menunjukkan kemungkinan besar dokumen berkenaan adalah  tulen, kata Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Katanya, jika dokumen tersebut palsu, polis tidak akan memulakan siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu beliau menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan dalam dokumen tersebut dan jangan ada sindrom penafian.

“Keadaan ini perlu diberi perhatian dan kewaspadaan oleh rakyat agar tidak terus diperdaya oleh taktik Perdana Menteri.

“Sebagai contoh, beliau merujuk kepada arahan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pada awalnya dinafikan berulang kali oleh kerajaan namun akhirnya terpaksa diakui apabila kebenaran terbongkar sedikit demi sedikit.

“Oleh itu saya sama sekali tidak terkejut apabila kerajaan menolak untuk mengakui bahawa pendedahan memo mesyuarat ini adalah benar, kerana menafikan berkali-kali adalah taktik kerajaan untuk mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, sekiranya Perdana Menteri tidak mahu dituduh campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan maka Anwar perlu melepaskan kuasa dan membenarkan JAC menyerahkan terus senarai calon kepada Istana Negara untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Perdana Menteri tidak seharusnya menjadi orang tengah dalam proses pelantikan tersebut,” tambah Domnic.

Menganggap individu yang membocorkan dokumen itu telah melakukan kesalahan dan wajar dikenakan tindakan, namun Dominic berkata, dalam masa yang sama ia mendedahkan campur tangan kuasa Perdana Menteri terhadap pelantikan jawatan hakim.

“Saya berpendapat jika individu yang membocorkan maklumat itu melakukan kesalahan, mereka wajar dikenakan tindakan. Namun, yang lebih penting, kami ingin memahami sama ada Perdana Menteri terlibat dalam campur tangan pelantikan kekosongan jawatan kehakiman ini,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Dominic berharap polis dapat menjalankan siasatan terhadap insiden ini dengan adil dan telus.

Beliau turut menegaskan Akta Rahsia Rasmi tidak boleh disalahguna untuk menyekat kebenaran daripada sampai kepada rakyat, apatah lagi menjadikan undang-undang tersebut sebagai alat white terror untuk menghalang pencarian fakta.

“Perkembangan terbaharu ini membuktikan bahawa tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengadakan sidang media bersama beberapa ahli Parlimen PKR sebelum ini adalah berdasarkan penemuan sesuatu yang mencurigakan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap polis tidak hanya menyiasat pembocor maklumat tetapi yang lebih penting adalah mengembalikan kebenaran untuk mengetahui sama ada Perdana Menteri mempunyai niat untuk campur tangan dalam pelantikan jawatan penting kehakiman.

“Penjelasan Anwar yang berulang kali menyatakan beliau tidak campur tangan dalam dua jawatan penting iaitu Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan Presiden Mahkamah Rayuan, boleh dipertikaikan.

“Memandangkan polis kini memutuskan untuk memulakan siasatan, semua pihak perlu memberi ruang dan masa kepada polis untuk menyiasat dan memperjelas keadaan sebenar. Tiada sesiapa pun yang boleh mengatasi undang-undang termasuk Perdana Menteri sendiri,” katanya lagi.

Sebagai rekod, polis telah melancarkan siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat JAC.

Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan memberi tumpuan kepada bagaimana maklumat dalaman tersebut boleh terdedah dan disebarkan di media sosial.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast