Lima ahli sindiket penipuan seks dan pemerasan seksual dalam talian didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan.

JOHOR BAHRU – Lima ahli sindiket penipuan seks dan pemerasan seksual dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan dua remaja dan seorang lelaki dewasa bagi tujuan eksploitasi kerja dan pemerdayaan.

Sham Chee Fei, 33; Kuek Pei Lin, 19; Lee Chun Kit, 28; Tommy Voo Tze Hau, 27 dan seorang tertuduh juvana lelaki berusia 17 tahun membuat pengakuan itu bagi semua pertuduhan tersebut selepas dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, empat lelaki dan seorang wanita itu didakwa memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan remaja lelaki berusia 16 tahun bagi maksud eksploitasi kerja serta seorang lelaki berusia 26 tahun bagi maksud sama dengan cara pemerdayaan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Lagenda 34, Taman Lagenda Putra, Kulai, antara 23 Mac lalu hingga 23 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 12 akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, Pei Lin; Tze Hau dan tertuduh juvana mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang lain.

Mereka didakwa mencapai niat bersama-sama menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak terhadap dua mangsa remaja yang sama dalam bentuk video dan gambar.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, seorang lagi ahli sindiket, Abdul Rahufur Rahim Idris, 30, mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menyuruh mangsa remaja perempuan itu melakukan aktiviti bersifat seksual terhadap remaja lelaki terbabit.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(f) AKSTK 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbuatan empat tertuduh itu didakwa dilakukan di rumah sama, pada pukul 6 petang, 22 Mei lalu hingga 5 pagi, 23 Mei lalu.

Sementara Chun Kit, mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan mempunyai bahan penganiayaan seksual kanak-kanak sebanyak dua keping gambar dan dua video dalam telefon bimbit.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah yang sama, pukul 11.20 pagi, 20 Jun lalu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 10 AKSTK 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir dan Nur Farah Wahida Shahudin.

Peguam Muhammad Abd Kadir dan Gary Ng Boon Hui mewakili tertuduh Chun Kit, Tze Hau dan Chee Fei, manakala peguam N Moganeysha mewakili Abdul Rahufur Rahim; Pei Lin dan tertuduh juvana.

Semua tertuduh dibenarkan ikat jamin masing-masing Chee Fei sebanyak RM15,000; Pei Lin (RM30,000); Chun Kit (RM26,000); Tze Hau (RM35,000); tertuduh juvana (RM20,000) dan Abdul Rahufur Rahim (RM6,000).

Mereka turut dikenakan syarat tambahan bagi jaminan iaitu dilarang mengganggu saksi, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kedua-dua mahkamah menetapkan tarikh 13 Ogos, 14 Ogos dan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast