Menteri Pengangkutan, Antony Loke Siew Fook bercakap pada media berkenaan perasmian majlis Malaysia Maritim Week 2025 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa proses pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman, termasuk Ketua Hakim Negara akan dibuat secara tertib dan dalam masa terdekat dengan mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja serta prinsip keluhuran Perlembagaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jaminan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan tertutup bersama barisan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Seri Perdana semalam.

“Perdana Menteri menjelaskan bahawa satu keputusan akan dimuktamadkan tidak lama lagi dan akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja yang bersidang esok,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Anwar sebelum ini turut mengadakan pertemuan berasingan bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) minggu lalu bagi memperkukuh kerjasama dan menyampaikan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan.

Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pertemuan hampir dua jam itu membabitkan perbincangan khusus mengenai isu kekosongan jawatan dalam badan kehakiman yang mencetuskan perhatian ramai, termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

“Perdana Menteri telah memberikan gambaran menyeluruh kepada Ahli Parlimen PH agar mereka faham proses yang sedang berlangsung dan tidak keliru dengan spekulasi luar.

“Sesi taklimat itu turut merangkumi penjelasan berkenaan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang memperincikan kaedah pelantikan, pemecatan serta syarat perkhidmatan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

“Beliau juga menjelaskan bahawa perkembangan ini turut dibentangkan secara berkala dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tetapi pertemuan semalam memberi ruang kepada Ahli Parlimen bertanyakan terus kepada Perdana Menteri,” katanya.

Dalam masa sama, Anthony mengakui kebimbangan awam terhadap kekosongan jawatan penting dalam institusi kehakiman adalah wajar.

“Apa yang penting sekarang ialah kita menghormati proses, mempercayai institusi, dan memastikan segala keputusan dibuat dengan telus dan bertanggungjawab,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast