KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghaz petang ini bagi menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja kesihatan di hospital-hospital utama di negeri itu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika mengumumkan perkara tersebut, bagaimanapun tidak mengesahkan lokasi pertemuan yang akan diadakan pada pukul 3 petang ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor berhubung kemelut kekurangan petugas kesihatan di negeri itu selepas Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-146 di Putrajaya, semalam.
Mesyuarat itu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri beberapa menteri Kabinet dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Malam tadi saya ada berbincang dengan dia (Menteri Besar), Insya-Allah kita akan usulkan beberapa cadangan penyelesaian.
“Akan ada perbincangan di antara Menteri Kesihatan dan Menteri Besar Johor petang nanti, saya tidak pasti di mana,” ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Tindakan Antarabangsa Ketiga Azman Hashim International Business School (AHIBS-ACT) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Shamsul Azri mengulas laporan media semalam berhubung kebimbangan kerajaan negeri berkaitan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang semakin kritikal di Johor.
Ujarnya satu kenyataan berkata, kekurangan tenaga kerja kesihatan di hospital-hospital utama melibatkan pelbagai kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain.
Tambah beliau, sebagai contoh, di beberapa wad, seorang jururawat terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.
“Keadaan ini bukan sahaja tidak adil buat petugas, tetapi juga tidak selamat untuk pesakit jika dibiarkan berpanjangan,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Shamsul Azri turut diminta mengulas `bayangan’ Perdana Menteri yang akan mengumumkan suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika diminta memperincikan perkara itu dan meminta semua pihak menunggu pengumuman tersebut.
“Apa bayangan (pengumuman) itu, biarlah jadi surprise (kejutan), Insya-Allah dalam masa terdekat. Ia akan menggembirakan rakyat, kalau penjawat awam, ia akan menggembirakan penjawat awam,” ujarnya.
Semalam, media yang memetik laporan Bernama menyatakan, Perdana Menteri akan mengumumkan suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia dalam masa terdekat melalui poster bertulis ‘AKAN DATANG’ dikongsikan Anwar menerusi Facebooknya.
“Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku,” tertera dalam poster berkenaan. Perdana Menteri berkongsi poster tersebut dengan kapsyen “Nantikan…”. – MalaysiaGazette















