Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.

KUALA LUMPUR  – Tidak berpuas hati bekas teman wanita menipu dihalang keluar rumah dipercayai punca seorang lelaki mengelar wanita itu di sebuah universiti swasta, di Subang Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek kini direman empat hari bermula hari ini sehingga 18 Julai bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati, motif kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati kerana bekas teman wanitanya menipu mengatakan suspek menghalang mangsa keluar dari rumah.

“Namun ketika ini, pegawai penyiasat masih dalam tindakan mengambil keterangan saksi dan mengenal pasti punca kejadian bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa yang cedera parah kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi pemantaun lanjut.

Sebelum ini media melaporkan, penuntut warga asing berusia 20 itu tahun cedera parah di kiri leher selepas dikelar dalam kejadian di universiti, petang semalam.

Wan Azlan dilaporkan berkata, mangsa didakwa dikelar dengan pisau dan suspek merupakan bekas teman lelakinya ditahan sejurus kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang.

Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda merbahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast