KUANTAN – Dua mahasiswa Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang yang meninggal dunia selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah ambulans merupakan insan yang berakhlak mulia dan cintakan ilmu agama.
Menurut UniPSAS, Allahyarham Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil dan Muhammad Firdaus Mohamad merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad sehingga tingkatan 3 dan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Mereka kemudian melanjutkan pengajian ke Tahfiz Bestari, Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan sehingga tamat tingkatan 5.
”Semangat mereka dalam mendalami ilmu Al-Quran diteruskan apabila mereka menyambung pengajian di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dalam bidang Diploma Pengajian Quran dan Sunnah dan Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian),” katanya menerusi kenyataan.
Menurut kenyataan itu, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.45 pagi tadi di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Hidayah, Paya Besar, di sini.
Katanya, Muhammad Zuhair Rifqi meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Firdaus disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
UnIPSAS merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua pelajar dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. – MalaysiaGazette
















