Datuk Hussein Omar Khan.

SHAH ALAM – Polis mengesahkan remaja lelaki warga United Kingdom (UK), David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sebulan lalu, telah menghubungi ibunya menerusi hantaran e-mel pada 9 Julai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah memeriksa kandungan e-mel itu dan mendapati dia meminta keluarganya supaya tidak bimbang.

“Antara kandungan e-mel itu yang diluahkanya iaitu jangan bimbang, jangan cuba mencarinya dan mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan.

“Selain itu, dia turut memohon maaf kerana melakukan perkara ini tanpa menyatakan bila akan pulang ke pangkuan ahli keluarganya.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan usaha untuk mencari individu ini dan semakan lanjut, tiada rekod menunjukkan dia keluar daripada Malaysia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Hussein juga memaklumkan, remaja itu kali terakhir dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berada di lobi KL Sentral pada jam 10.09 pagi 7 Jun lalu.

Tambah beliau, setakat ini seramai enam individu termasuk ibu mangsa, pemandu bas, pengurup wang, penjual tiket serta anggota polis terlibat telah diambil keterangan.

Sebelum ini media melaporkan, keluarga David di UK membuat laporan polis di sana selepas mendapati anak mereka gagal dihubungi selepas keluar daripada kediaman mereka di Cheadle, Greater Manchester, pada 6 Jun lalu.

David yang juga pelajar sains komputer di Universiti Manchester menaiki penerbangan sehala dari Manchester ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan sesiapa, mematikan telefon bimbit dan tidak membalas e-mel sejurus tiba di Malaysia.

Polis UK mengesahkan David berlepas seorang diri dari Lapangan Terbang Manchester sebelum maklumat itu disalurkan kepada pihak berkuasa Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast