JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan kurier serta laluan air tidak sah baru-baru ini.
Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, pemeriksaan pertama di Pekan Nenas pada 21 Mei lalu melibatkan dua bungkusan pos laju.
“Pemeriksaan menemui ketulan tumbuhan mampat disyaki ganja seberat 130 gram dan 97 gram sebelum melakukan sitaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan sitaan itu katanya, seorang lelaki dipercayai penghantar telah ditahan.
Katanya, hasil siasatan lanjut menemui sebuah beg hitam mengandungi ganja seberat 55 gram, tiga botol alat penghisap ganja serta satu alat pengisar.
“Jumlah sitaan keseluruhan ialah 762 gram dengan nilai dadah dianggarkan RM22,860 selain sebuah motosikal bernilai RM10,000 turut dirampas,” katanya.
Beliau memberitahu, modus operandi sindiket berkenaan adalah mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengaburi pihak berkuasa.
Sementara itu katanya, sepasukan pegawai menyerbu sebuah bot tidak berdaftar di kawasan hutan paya bakau sekitar Terminal Feri Batu Pahat, pada 5 Jun lalu.
Ujarnya, pemeriksaan menemui tiga bungkusan mampat dadah yang disorok dalam beg berisi teh cina.
“Anggaran berat dadah terbabit adalah 3.063 kilogram dengan nilai RM98,016. Bot bernilai RM4,000 turut disita,” katanya.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai menggunakan laluan air tidak sah untuk mengedar dadah dari luar negara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















