Kredit: SPRM N.Sembilan

SEREMBAN – Seorang kerani sebuah syarikat pelancongan di ibu negara direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan butir matan palsu berkaitan tuntutan bayaran kad kredit syarikat sebanyak RM55,000 bagi tempahan hotel untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran terhadap wanita berusia 20 tahun itu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 9.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri dan siasatan awal mendapati dia disyaki melakukan perbuatan tersebut dari Mac 2023 hingga Februari 2024.

“Suspek dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi butiran palsu bagi tempahan hotel atas urusan rasmi syarikat untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast