GOLONGAN mahasiswa diseru menyertai program KOMAWAR 2025 ke arah meningkatkan kesedaran menolak budaya rasuah.

 

 

KUALA LUMPUR – Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) bakal kembali buat kali kelima dengan penganjuran lebih berimpak tinggi, menampilkan kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Universiti Multimedia (MMU) dan Iskandar Investment Berhad.

Bertemakan `Memperkasa Mahasiswa Membentuk Masa Depan Negara’, konvensyen itu akan berlangsung pada 16 Ogos depan, bermula pukul 8.30 pagi hingga 6.30 petang di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Majlis penutupan konvensyen ini bakal disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, KOMAWAR merupakan kesinambungan kepada Perhimpunan Mahasiswa Antirasuah dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) yang mula diperkenalkan pada tahun 2017 di tiga lokasi utama iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurutnya, bermula pada 2018, PEMARAH dijenamakan semula sebagai Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) dan telah dianjurkan secara berkala setiap dua tahun sekali.

Katanya, empat siri terdahulu berlangsung pada 2018 di Universiti Malaysia Perlis (Zon Utara), masing-masing pada 2019 di Universiti Sultan Zainal Abidin (Zon Timur) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Zon Selatan) serta di Universiti Malaya (UM) pada 2022.

“Objektif utama konvensyen ini adalah untuk membentuk generasi mahasiswa yang menolak rasuah serta menzahirkan suara pemimpin muda dalam mendukung nilai integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara.

“Ia juga memberi ruang kepada mahasiswa menyatakan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah oleh SPRM, sekali gus menanam kesedaran sejak di peringkat awal pengajian tinggi,” katanya.

Tambah kenyataan itu, melalui penganjuran program tersebut, SPRM yakin mahasiswa mampu menjadi ejen perubahan yang berani menyuarakan kebenaran serta memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan negara yang bebas rasuah.

Apa yang menarik pada kali ini, katanya, buat julung kali Pertandingan Akhir Berani Bicara 2025 turut dianjurkan sebagai tarikan utama untuk mencungkil keberanian dan kepimpinan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan terhadap isu integriti dan rasuah.

Jelasnya, pertandingan itu terbuka kepada semua mahasiswa insititusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS); Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan MARA (IPMa) yang berumur antara 18 hingga30 tahun.

“Serlahkan bakat pengucapan awam anda dalam rakaman video, berdurasi tiga hingga tujuh minit dalam format MP4-HD dengan pengucapan perlu di dalam bahasa Melayu dan hantar kepada [email protected].

“Seramai 10 finalis bakal berpeluang beraksi di pentas akhir dengan tarikh akhir penyertaan pertandingan ini pada 28 Julai depan.

“Jom setai Pertandingan Berani Bicara sempena Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) 2025 dan menangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast