Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media mengenai kejayaan barang rampasan bernilai RM4.13 Juta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2025.

SHAH ALAM – Sindiket pengedaran dadah jenis heroin bernilai RM4.13 juta yang berpangkalan di utara tanah air ditumpaskan dengan penahanan tiga individu tempatan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Tangkapan ke atas suspek berusia antara 47 hingga 55 tahun itu dilakukan menerusi tiga serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada jam 1.24 tengah hari hingga 3.35 petang 12 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Selangor itu dilakukan berdasarkan risikan selama tiga bulan.b

“Dalam serbuan pertama, kita telah menahan seorang suspek berusia 50-an yang menaiki sebuah kereta jenis Mazda berwarna putih di tepi jalan USJ 19/4, Subang Jaya, Selangor.

“Hasil pemeriksaan, dadah jenis heroin base dianggarkan berat 14.5 kilogram (kg) bersama Heroin seberat 920 gram ditemui di dalam beg berwana hitam yang disorokkan di ruangan khas bahagian tempat belakang penumpang.

“Kemudian serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah di Seri Kembangan dengan menahan suspek kedua dan menemui dadah, jenis heroin base dianggarkan berat 25.55 kg.

“Serbuan terakhir dilakukan di sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang membawa kepada penahanan suspek ketiga dan pemeriksaan lanjut di rumah suspek menemukan heroin base 7.46 kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Antara barang rampasan yang ditujukkan pada sidang media bernilai 4.13 Juta mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2025.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan di Pulau Pinang merupakan dalang sindiket yang bertanggungjawab mendapatkan bekalan dadah dari luar negara, manakala dua lagi bertindak sebagai transporter ke Lembah Klang.

“Sindiket ini mula bergiat aktif sejak awal tahun lalu dan transporter akan menerima bayaran RM5,000 setiap penghantaran termasuk menjual dadah secara pukal kepada pengedar lain.

“Semakan juga mendapati, heroin base yang dirampas ini adalah gred 4 yang akan diproses menjadi heroin berkualiti tinggi kepada gred 3 sebelum diedarkan secara runcit kepada sindiket lain.

“Modus operandi sindiket ini dikesan menggunakan kondominium atau apartment sebagai stor simpanan dan kenderaan pula diubah suai dengan ruang rahsia bagi menyeludup dadah ke pasaran,” katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media mengenai kejayaan barang rampasan bernilai RM4.13 Juta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2025.

Tambah Hussein, pemeriksaan terhadap kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik serta saringan ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif methamphetamine.

“Kita turut menyita beberapa kenderaan bernilai RM166,000 termasuk sebuah Audi RS5, dua Toyota Innova, sebuah Volkswagen Golf termasuk dua motosikal iaitu Honda NSR150RR dan Lambretta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Dua suspek akan direman lima hari manakala seorang lagi direman enam hari bagi siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, polis kini memburu rangkaian sindiket yang masih bebas termasuk pengedar di sekitar Lembah Klang serta utara tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast