BUTTERWORTH – Sebuah bangunan kedai di Jalan Jetty Lama di sini, diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian semalam.
Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam kenyataan berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan kerosakan serius pada struktur hadapan bangunan berkenaan, termasuk runtuhan sebahagian dinding dan lantai yang berisiko untuk terus runtuh.
“Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid, yang meninjau lokasi kejadian, mendapati sokongan utama bangunan mengalami keretakan ketara dan atap turut berada dalam keadaan tidak stabil.
“Kerosakan turut menyebabkan serpihan batu-bata dan konkrit bertaburan di kaki lima dan atas jalan, dengan kehadiran orang awam serta petugas di sekitar lokasi tanpa kawalan keselamatan mencukupi,” jelas kenyataan itu.
MBSP turut memaklumkan, hasil pemeriksaan awal mendapati struktur bangunan berkenaan tidak lagi selamat dan sebarang aktiviti dalam premis terbabit adalah dilarang sepenuhnya sehingga tindakan susulan diambil.
“Antara cadangan segera termasuk pemasangan pita keselamatan dan penghadang fizikal, pelantikan jurutera struktur bertauliah bagi penilaian terperinci serta kerja penstabilan sementara jika bangunan masih boleh diselamatkan.
“Sekiranya tidak dapat dibaiki, kerja perobohan secara terkawal perlu dilaksanakan. Notis amaran rasmi juga akan dikeluarkan kepada pemilik premis,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki warga emas nyaris maut, kereta rempuh bangunan dalam pembinaan
Media semalam melaporkan seorang lelaki warga emas nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar sebuah bangunan dalam proses pengubahsuaian di Jalan Jetty Lama di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata dalam kejadian pada 2 petang itu, mangsa G. Palanivelu, 77, yang memandu kereta Perodua Kenari secara bersendirian mengalami kecederaan ringan. – MalaysiaGazette
















