GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memperkenalkan cukai kekosongan hartanah serta mengetatkan kawalan pinjaman dan dasar cukai bagi mengekang isu hartanah dalam negara.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, cukai kekosongan perlu dikenakan terhadap unit kediaman yang dibiarkan kosong melebihi enam bulan dalam setahun sebagai langkah menghalang pembelian bersifat pelaburan semata-mata.
Jelas beliau, langkah tersebut telah dilaksanakan di beberapa bandar besar dunia seperti Melbourne, Australia dan Vancouver, Kanada dengan kadar antara satu hingga tiga peratus daripada nilai harta.
“Langkah ini berkesan mengurangkan spekulasi dan menggalakkan pemilik menyewakan atau menjual unit yang tidak digunakan.
“Ini kerana pasaran perumahan Malaysia semakin dikuasai pelabur yang membeli rumah bukan untuk didiami, tetapi dijadikan alat pelaburan jangka pendek.

“Di kawasan bandar, ramai pembeli rumah tidak mampu bersaing dengan spekulator sekali gus mendorong pemaju menaikkan harga dan mendapatkan lebih banyak tanah untuk dibangunkan, termasuk menambak laut yang mahal dan memberi kesan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan harga rumah meningkat purata 5.8 peratus setahun antara 2010 hingga 2022, melebihi paras sihat antara tiga hingga empat peratus.
CAP juga menegaskan kewujudan banyak unit kondominium yang tidak dihuni walaupun telah dijual, menjadi beban kepada penduduk kerana pemilik unit kosong sering culas membayar yuran penyelenggaraan.
Selain cukai kekosongan, kita juga mencadangkan kerajaan memperketat Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dengan kadar lebih tinggi untuk jualan dalam tempoh pegangan singkat, menyemak semula kadar duti setem, dengan caj lebih tinggi bagi pembelian rumah kedua dan seterusnya, terutamanya oleh pembeli asing atau bukan penduduk.
“Selain mengetatkan syarat pinjaman perumahan bagi mereka yang memiliki beberapa unit, termasuk menurunkan nisbah pinjaman kepada nilai (LTV).
“Kerajaan perlu menegakkan prinsip bahawa perumahan adalah hak asasi, bukan komoditi untuk keuntungan,” tegas Mohideen. – MalaysiaGazette















