Timbalan Menteri Besar Keantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas dan tegas menggagalkan penganjuran pesta maksiat melibatkan kumpulan gay di Kota Bharu.

Timbalan Menteri Besar Keantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam serta mempertahankan nilai hidup masyarakat yang berlandaskan syariat Islam.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam.

Ujarnya, amalan LGBT adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial, dan bumi Kelantan tidak akan dibiarkan menjadi tempat normalisasi maksiat yang jelas diharamkan oleh Allah SWT.

“Dalam usaha membendung kemungkaran, Kerajaan Negeri telah menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) EKJS Kelantan 2019 sebagai instrumen perundangan untuk menangani kesalahan syariah, termasuk perlakuan liwat, musahaqah dan perbuatan tidak bermoral lain yang mencemarkan kesucian hidup beragama.

“Walaupun enakmen ini pernah menghadapi cabaran perundangan, Kerajaan Negeri bertekad meneruskan usaha meminda dan memperkukuh peruntukan tersebut agar lebih berkesan dalam membendung kemungkaran dan menegakkan hukum Allah SWT,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Media hari ini melaporkan, polis Kelantan menyerbu satu perjumpaan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan pada jam 1 pagi hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan oleh pasukan khas.

Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata, bagi memperkukuh tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat yang melibatkan pelbagai agensi strategik serta pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, jawatankuasa itu berperanan menyelaras pendekatan menyeluruh dan bersifat antara agensi dalam menangani keruntuhan moral dan tingkah laku menyimpang yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat.

Dalam masa sama, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah tegas menyekat akses kepada platform aplikasi digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.

“Ruang digital tidak wajar dibiarkan menjadi medan tanpa kawalan yang merosakkan pemikiran dan akhlak masyarakat, khususnya golongan muda,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast