KUALA LUMPUR- Pindaan Akta Perikanan 1985 (Akta 317) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan mesyuarat kali kedua yang dijangka bermula 21 Julai ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan akta sedia ada termasuk meningkatkan denda berkaitan pelanggaran peraturan tangkapan ikan di kawasan perairan tertentu.
Tambahnya, pindaan undang-undang tersebut akan turut menumpukan kepada pengukuhan taman-taman laut dan larangan penggunaan yang berisiko menjejaskan habitat ikan.
“Akta ini kebanyakannya untuk menguatkuasakan yang sebelum ini dan ditambah antaranya pengawalan laut. Ia banyak melibatkan dasar dan dituntut pihak kebangsaan untuk buat perubahan. Denda (sebelum ini) kalau kita bandingkan dengan Indonesia dan Thailand ia lebih rendah,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Kali Ke-40 Tahun 2025.
Selain itu, Mohamad berkata, pindaan akta tersebut juga akan membabitkan perkara berkaitan larangan tangkapan dan pemeriksaan ikan di kawasan perairan yang mengalami pencemaran.
“Begitu juga kita nak pelihara akta ini melibatkan larangan penjualan penyu untuk ditegaskan supaya ia tidak pupus,” jelasnya.
Beliau berkata, draf pindaan yang disiapkan adalah hasil daripada perbincangan dengan semua pihak dan pemain industri perikanan.
Dalam pada itu, Mohamad menjangkakan bacaan kali kedua pindaan Akta 317 akan dilakukan pada Ogos tahun ini.-MalaysiaGazette
















