PONTIAN – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menawarkan konsep Malaysia Untuk Rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, konsep itu dilihat lebih luas dan menyeluruh berbanding slogan Sabah Untuk Orang Sabah.
“Malaysia Untuk Rakyat Sabah berlawanan dengan konsep Sabah Untuk Orang Sabah. Jadi Malaysia Untuk Orang Sabah adalah konsep yang jauh lebih luas dan inklusif.
“Kita berkongsi negara ini. Oleh itu jangan kita mengecilkan skop rakyat kita,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Sejati Madani di Kampung Parit Pinang, Benut di sini hari ini.
Sebelum itu, Ahmad mengadakan lawatan ke empat bahagian UMNO di Sabah iaitu Lahat Datu, Semporna, Kalabakan dan Tawau bermula Selasa lalu.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya itu lagi, konsep itu lebih relevan untuk diketengahkan dan sesuai dijadikan antara tema utama kempen PRN akan datang.
“Malaysia Untuk Rakyat Sabah lebih luas dan lebih baik untuk rakyat Sabah. Malaysia Untuk Rakyat Sabah ini tentunya boleh diterajui oleh parti yang bersikap lokal dan nasional.
“UMNO dan BN adalah parti yang bersifat lokal dan bersifat nasional. Kenapa UMNO dan BN ini bersifat lokal? Sebab kita sudah 34 tahun di sana. Itu sebab UMNO ini bersifat lokal.
“Rakyat Sabah turut menyumbang kepada pembangunan negara serta berjaya membina kehidupan di negeri-negeri lain dalam Malaysia.
“Ramai antara mereka bekerja di Semenanjung dan memegang pelbagai jawatan penting. Sebagai contoh dianggarkan seramai 200,000 rakyat Sabah mencari rezeki di Johor,” katanya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu seterusnya menyenaraikan kejayaan ramai tokoh Sabah dalam pelbagai bidang profesional termasuk pernah dilantik sebagai Peguam Negara, menteri serta Timbalan Ketua Polis Negara.
Pada 12 Mei lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa slogan ‘Sabah untuk Orang Sabah’ tidak wajar diketengahkan lagi menjelang PRN Sabah.
Menurut beliau, slogan berkenaan tidak selari dengan aspirasi kerajaan Perpaduan yang mengutamakan inklusi dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan seterusnya menafikan slogan Sabah for Sabahan (Sabah untuk Orang Sabah) sebagai satu tindakan berunsur penentangan terhadap Persekutuan. – MalaysiaGazette
















