KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menggesa kerajan membatalkan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas mahasiswa dengan segera melalui pengecualian khusus untuk makanan di kampus dan kedai sekitar universiti, buku serta alat tulis dan perkhidmatan pengangkutan pelajar.
Selain itu, Naib Presiden GAMIS, Nik Muhammad Badrain Zamery berkata, kerajaan juga perlu menubuhkan tabung kebajikan mahasiswa menggunakan dana zakat dan wakaf untuk menyediakan baucar makanan bulanan dan baucar dobi serta percetakan bulanan kepada pelajar yang memerlukan.
Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan melaksanakan reformasi dasar ekonomi dengan menggantikan SST melalui sumber hasil yang lebih adil seperti cukai mewah atau luxury goods tax dan cukai syarikat multinasional.
“Kerajaan juga disarankan menubuhkan jawatankuasa pengawasan harga di setiap kampus yang terdiri daripada wakil kerajaan, pengurus universiti dan mahasiswa untuk memastikan kestabilan harga barangan asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Nik Muhammad Badrain, perluasan SST bukan sahaja zalim dari sudut ekonomi tetapi juga bertentangan dengan prinsip maqasid syariah yang meletakkan pendidikan sebagai hak asasi yang wajib dilindungi.
Jelasnya, perluasan SST itu jelas bertentangan dengan prinsip Islam dan hak asasi mahasiswa kerana menyebabkan kenaikan harga barangan asas seperti makanan, alat tulis, asrama, rumah sewa dan sebagainya yang menjadi satu bentuk asasi atau kepada mahasiswa.
“Pengabaian dan intimidasi ini adalah sangat jelas menunjukkan ketidakadilan kerajaan yang menjadikan mahasiswa sebagai sumber hasil kerajaan,” katanya.
Kebajikan mahasiswa sebagai kelompok yang terdedah dengan tekanan ekonomi seharusnya menjadi keutamaan dalam penyusunan dasar fiskal negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli Parlimen tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang bersama-sama menolak perluasan SST yang membebankan mahasiswa.
Dalam masa sama, ujarnya, ahli-ahli Parlimen juga perlu mendesak kerajaan mempertimbangkan semula pendekatan percukaian yang lebih adil dan mesra pendidikan, selaras dengan semangat keadilan sosial dalam negara yang meletakkan pendidikan sebagai hak asasi. – MalaysiaGazette
















