KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh menggangu siasatan berhubung kematian pelajar yang dikenali sebagai Zara Qairina yang dikaitkan dengan kes buli.
Menurut beliau, semua pihak wajar menghormati peribadi keluarga mangsa dan memberi ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Ujarnya, ketika ini, insiden itu berada dalam siasatan pihak polis dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan tersebut,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Fadhlina dan Pengurusan Tertinggi KPM menziarahi keluarga mangsa di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga berkenaan terpelihara.
Menurut Fadhlina, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga termasuk dalam aspek sokongan psikososial.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian anakanda Zara Qairina. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan kejadian seorang pelajar sekolah di Sabah yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah tersebut, dalam kejadian yang dipercayai beberapa hari lalu.
Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Menerusi hantaran yang tular itu, insiden tersebut dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang berlaku di sekolah berkenaan. – MalaysiaGazette
















