JOHOR BAHRU – Ibu kepada seorang mangsa yang cedera selepas van sekolah dinaiki 16 murid melanggar lobang sehingga terbalik di Jalan Abdul Samad di sini pagi tadi kesal apabila syarikat van sekolah tersebut seperti mahu lepas tangan.
J. Logeswati, 36, berkata, walaupun ini kali pertama berlaku namun dia kecewa apabila pihak van sekolah hanya meminta maaf dan tidak mahu menanggung sebarang kos kemalangan.
Dia yang merupakan ibu kepada murid tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal, T Lyvia, 10, tidak berpuas hati namun bersyukur tiada kemalangan jiwa.
“Pemilik dia jumpa kita cuma cakap ‘sorry, sorry‘. Ini (kejadian) siapa mahu tanggung? Kalau ada anak-anak meninggal dunia, siapa mahu tanggung?
“Sekarang saya fikir keselamatan anak sahaja,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.01 pagi, van sekolah itu terbalik selepas melanggar lobang saluran kabel bawah tanah dan mengakibatkan 16 mangsa cedera termasuk tiga murid patah tangan serta patah jari.
Mangsa terdiri daripada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, SMK Aminuddin Baki dan enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.
Pemandu van sekolah tersebut pula turut cedera dan menerima rawatan di HSA, kejadian berlaku semasa dalam perjalanan ke sekolah masing-masing.
Logeswati yang bekerja sebagai operator di Singapura tidak menyalahkan sesiapa kerana insiden tersebut melibatkan banyak pihak.
“Saya bukan nak salahkan sesiapa tetapi saya rasa ini semua kecuaian banyak pihak. Macam mana lubang itu boleh tidak bertutup dan macam mana pula pemandu van tak nampak lubang itu? Saya tanya dia tertidurkah, dia pun tidak tahu,” katanya.
Semasa kejadian, dia sudah sampai di tempat kerja Singapura sebelum menerima panggilan telefon daripada wakil pihak van sekolah yang memaklumkan tentang kemalangan itu.
Dia kemudian meminta suami, K Rajasingam, 35, dan ibunya melihat keadaan anak bongsu lima beradik itu terlebih dahulu sebelum dia bergegas pulang dari republik berkenaan.
“Anak dari tadi menangis sahaja sebab trauma, doktor bagi ubat baru dia okay. Dia kata ketika dalam van, dia tertidur tiba-tiba dengar bunyi dentuman kuat.
“Bila dia tersedar sudah terhantuk,” katanya yang sudah menggunakan khidmat pengangkutan van sekolah itu untuk anaknya sejak setahun lalu.
Logeswati berkata, anak perempuan tunggalnya itu mungkin dimasukkan ke wad untuk pemantauan dan rawatan lanjut.
Selain bengkak di kepala, Logeswati berkata, anaknya mengalami sakit pinggang dan luka-luka di tangan dan telinganya.- MalaysiaGazette















