KUALA LUMPUR – Kalangan bank pelaburan kekal optimis terhadap sektor pembinaan berikutan perkembangan terkini yang lebih jelas melibatkan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT).
Dalam satu nota hari ini, RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) berkata ia menjangkakan butiran lanjut akan diumumkan pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 31 Julai, 2025 atau Belanjawan 2026 pada 10 Oktober.
Antara butiran yang akan diperjelaskan termasuk mekanisme pembiayaan, anggaran kos terkini dan sama ada proses tender semula akan dijalankan.
“Dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula dan dibentangkan pada Februari 2023, kerajaan mengumumkan hasrat untuk mengkaji semula kos projek MRT3 dengan harapan dapat mengurangkan jumlah keseluruhan kepada bawah RM45 bilion berbanding anggaran RM68 bilion pada 2018.
“Kami menjangkakan pemberian kontrak dan pembinaan MRT3 akan bermula sekitar tahun 2027,” katanya.
RHB IB mengekalkan saranan “Wajaran Tinggi” terhadap sektor tersebut.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangkakan proses tender semula akan diadakan menjelang pertengahan 2026, dengan kontrak akan diberikan antara akhir 2026 dan pertengahan 2027, seiring dengan penyelesaian proses pengambilalihan tanah.
MRT Corp sebelum ini telah memohon empat lanjutan tempoh sah tender projek tersebut. Tiada lanjutan dimohon selepas yang terakhir pada Mac 2024, bermakna tender-tender terbabit kini telah luput secara automatik, katanya.
“Kami percaya akan ada beberapa perubahan terhadap jajaran asal projek serta penempatan stesen, memandangkan pengurangan dalam jumlah tanah yang perlu diambil alih.
“Pembinaan MRT3 akan bermula pada 2027. Perkembangan ini akan menyaksikan kontraktor sibuk sehingga 2033. Ia juga akan menjadi kesinambungan yang tepat pada masanya selepas jangkaan siapnya Projek Sistem Transit Laju Johor-Singapura dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelang akhir 2026,” kata MBSB IB.
Bank itu mengekalkan saranan “Positif” terhadap sektor pembinaan.
Laluan Lingkaran (Circle Line) MRT3 merupakan jajaran berbentuk bulatan sepanjang 51 kilometer (km) yang akan menghubungkan kawasan pinggir Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, 39 km adalah jajaran bertingkat manakala 12 km adalah bawah tanah, merangkumi 22 stesen bertingkat, tujuh stesen bawah tanah serta tiga stesen tambahan pada masa hadapan.
— BERNAMA
















