PARIS – Eropah bakal mengaktifkan semula sekatan semula sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya Iran tidak menunjukkan kemajuan dalam mencapai perjanjian nuklear.
Kementerian Luar Perancis berkata, perkara itu telah disampaikan diplomat tertinggi dari Britain, Perancis, Jerman dan Kesatuan Eropah kepada Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
Katanya, mereka akan menggunakan mekanisme ‘snapback’ yang membolehkan penguatkuasaan semula semua sekatan antarabangsa terhadap Iran jika perjanjian mengenai program nuklear Tehran tidak menunjukkan sebarang kemajuan konkrit menjelang akhir musim panas ini.
Tegasnya, tekanan itu adalah bagi meyakinkan Iran tentang keperluan mendesak untuk kembali ke landasan diplomatik tanpa berlengah.
Ini bagi mencapai perjanjian kukuh, sah dan berkekalan.
Terdapat banyak spekulasi mengenai status program nuklear Tehran sejak serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap kemudahan tentera dan nuklear Iran pada bulan Jun.
Satu klausa dalam perjanjian nuklear Iran 2015 yang telah ditarik balik oleh Amerika Syarikat membenarkan sekatan PBB terhadap Tehran dikuatkuasakan semula melalui mekanisme snapback sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Para diplomat Eropah mengharapkan kemajuan dicapai menjelang akhir Ogos memandangkan perjanjian itu dijadualkan tamat pada Oktober.
Iran dan Amerika Syarikat telah mengadakan beberapa pusingan rundingan melalui perantara Oman sejak April, sebelum Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 13 Jun. Washington turut melancarkan serangan ke atas Iran, yang secara efektif menamatkan rundingan nuklear.
Sejak tamatnya konflik tersebut, kedua-dua Iran dan Amerika Syarikat memberi isyarat kesediaan untuk kembali ke meja rundingan, walaupun Tehran menegaskan bahawa ia tidak akan melepaskan haknya untuk penggunaan kuasa nuklear secara aman.
Seorang penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata pada Isnin bahawa tidak akan ada rundingan nuklear baharu dengan Amerika Syarikat sekiranya ia bersyaratkan Tehran menghentikan aktiviti pengayaan uraniumnya. -AFP
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















