KUALA LUMPUR – Selepas Sharifah Shahirah dan Tyzo meninggalkan Datuk Fizz Fairuz mengumumkan pengundurannya daripada Suria FM.
Penyampai segmen Morning Morning Suria itu meninggalkan stesen radio tersebut setelah ebih kurang setahun enam bulan berkhidmat.
Fizz, 45, mengumumkan perkara itu ketika mengendalikan segmen berkenaan bersama dua lagi penyampai, iaitu Ajak Shiro dan Kai Hassan, pagi semalam.
“Hari ini adalah terakhir di Suria FM, terima kasih banyak-banyak. Sekurang-kurangnya ada perkara yang saya impikan tercapai.
“Saya pernah cakap suatu hari nanti hendak jadi ‘deejay’ dan jadi pelbagai. Saya mahu sudah jadi pengarah, sudah jadi pelakon, saya masuk radio ini sebab saya minat. Datuk Nash (penyanyi kumpulan Lefthanded) pernah cakap suara saya sesuai di radio. Malah, saya suka buat drama radio. Impian saya akhirnya tercapai,” katanya yang gagal menahan sebak.
Fizz berkata, keputusan tidak meneruskan tugas sebagai deejay disebabkan mahu memberi tumpuan kepada anak-anak, selain mahu membantu isteri, Datin Almy Nadia yang selama ini banyak menguruskan cahaya mata mereka sendirian.
Beliau turut menitipkan pesan kepada buat dua rakan penyampai yang lain supaya tidak pernah meninggalkan solat.
“Kita boleh terus berhubung dan jumpa di luar. Jangan tinggal solat, sejadah yang ditinggalkan itu, gunalah,” katanya.
Sementara itu, Almy melalui entri di Instagram (IG) turut berkongsi mengenai pengunduran suaminya itu daripada Suria FM.
Almy menggambarkan bahawa tidak mudah untuk Fizz membuat keputusan berkenaan.-MalaysiaGazette
















