TEMERLOH – Pemilik premis perniagaan di daerah ini diminta mengibarkan bendera Negeri Pahang di premis masing-masing bermula 15 Julai sehingga 16 September depan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Rizal Mustafa berkata, ia bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disambut pada 25 Julai ini.
“Sempena memuliakan sambutan, pihak MPT memohon semua peniaga dan pemilik premis perniagaan untuk kibarkan Bendera Negeri Pahang di semua premis perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa bendera negeri Pahang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negeri, justeru ia harus berada dalam keadaan baik, tidak koyak, lusuh atau pudar.
Sebagai rekod, tarikh sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang pada tahun ini dipinda daripada 30 Julai kepada 25 Julai. – MalaysiaGazette
















