Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir

SHAH ALAM – Parti Pejuang menawarkan pendekatan baharu sekiranya mentadbir negara dengan memberi tumpuan kepada reformasi sistem pendidikan, pengukuhan ekonomi domestik serta pentadbiran yang bebas daripada rasuah dan kronisme.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebarang dasar yang baik hanya akan membuahkan hasil jika dilaksanakan oleh mereka yang benar-benar layak, amanah dan kompeten.

Menurutnya, pentadbiran hari ini terlalu sarat dengan campur tangan politik dan konflik kepentingan.

“Apa akan jadi jika dasar yang penting diserah kepada orang yang tidak mahir atau hanya jaga kepentingan sendiri? Maka hancurlah dasar itu.

“Kita perlukan keberanian untuk lantik orang yang betul bukan orang yang berkepentingan,” katanya dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pejuang di sini hari ini.

Mukhriz turut mencadangkan agar sistem pendidikan negara dirombak dengan mengambil pendekatan menyeluruh untuk melahirkan insan berdaya saing, berjati diri dan bersedia menghadapi dunia global yang mencabar.

“Cukuplah dengan dasar yang berubah-ubah. Kita perlukan sistem yang tegas, jelas dan benar-benar melahirkan generasi bijak bukan hanya lulus peperiksaan,” ujarnya.

Daripada sudut ekonomi, Mukhriz menyeru agar industri kecil dan sederhana (IKS) diberi sokongan menyeluruh termasuk akses pinjaman mudah, latihan dan perlindungan daripada monopoli kartel.

“Kita mesti kurangkan kebergantungan kepada import makanan. Industri pertanian dan makanan mesti dikuatkan dengan teknologi moden. Kita jamin petani, pengilang, pengguna  semua dapat manfaat,” tambahnya.

Beliau juga menyentuh isu perbelanjaan kerajaan dan menegaskan sebarang kenaikan cukai mesti didahului dengan reformasi tadbir urus yang membuktikan kecekapan dan kejujuran kerajaan.

“Rakyat sanggup bayar cukai jika tahu wang itu diurus secara berhemah. Tapi hari ini, rakyat nampak ketirisan, pembaziran, dan kronisme masih bermaharajalela,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast