Wajah-wajah yang menyertai program lawatan media (FAM Trip) yang ditaja sepenuhnya oleh Batik Air Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar Timor-Leste.

DILI – Perjalanan saya ke Timor-Leste bukan sekadar sebuah percutian tetapi ekspedisi jiwa ke sebuah negara yang masih belum disentuh arus pelancongan utama.

Dikenali sebagai antara negara termuda di Asia Tenggara, Timor-Leste menawarkan satu pengalaman sukar ditemui di tempat lain – keindahan asli, masyarakat  bersahaja dan – masa yang terasa seolah terhenti di sana.

Segalanya bermula dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Dili bersama Batik Air iaitu syarikat penerbangan pertama Malaysia yang membuka laluan ini secara komersial.

Penerbangan sulung yang saya naik merupakan sebahagian daripada program lawatan media (FAM Trip) yang ditaja sepenuhnya oleh Batik Air Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar Timor-Leste.

Untuk makluman, dengan keluasan lebih kurang saiz Kelantan negara itu ibarat rahsia yang belum diketahui ramai malah hanya enam bandar di dunia mempunyai penerbangan terus ke Dili dan kini Kuala Lumpur termasuk dalam senarai eksklusif itu.

Terima kasih kepada Batik Air, perjalanan ke sini kini hanya mengambil masa empat jam lebih sedikit namun pengalamannya bagaikan puluhan tahun ke belakang.

Penerbangan sekitar empat jam 15 minit itu mendarat lebih awal daripada jadual dan pesawat kami disambut meriah dengan water salute – satu tradisi istimewa dalam dunia penerbangan antarabangsa.

Pengalaman menjadi lebih bermakna apabila saya disambut sendiri oleh Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Sarjit Singh.

Pertemuan kami berlangsung di Kedutaan Malaysia di Dili. Tanpa berselindung, saya bertanya terus:

“Datuk, adakah negara ini selamat?”

Jawapan beliau cukup meyakinkan: “Inilah antara negara yang paling selamat. Tiada jenayah terancang di sini. Anda lihat dan alami sendiri.

Tolong jangan percaya apa yang anda tengok dalam Internet, anda perlu tahu sendiri,” katanya kepada saya. 

Wartawan MalaysiaGazette bersama Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Sarjit Singh.

Ada sesuatu yang istimewa tentang Timor-Leste.

Bukan sekadar kerana ia merupakan antara negara paling muda di dunia, merdeka hanya pada tahun 2002 tetapi kerana semangat yang menyala dalam rakyatnya semangat untuk bangkit, membina dan memelihara sebuah tanah air yang mereka perjuangkan dengan darah dan air mata.

Terletak di hujung timur kepulauan Nusantara, Timor-Leste bukanlah destinasi pelancongan popular seperti jirannya Indonesia atau Australia namun itulah ia menjadi daya tarikan utamanya.

Ia menawarkan keaslian yang telah lama hilang di tempat lain, jalan-jalan yang sunyi dari hiruk-pikuk, senyuman jujur dari penduduk dan pemandangan semula jadi yang belum disentuh pembangunan berlebihan.

Dolar Amerika Di Bumi Timur

Mungkin perkara paling mengejutkan bagi pelancong yang kali pertama menjejakkan kaki di Timor-Leste ialah penggunaan mata wangnya: Dolar Amerika Syarikat (USD).

Ya, inilah mata wang rasmi yang digunakan di kedai, restoran dan pasar malam. Diperkenalkan untuk kestabilan ekonomi pasca konflik, dolar memberikan Timor-Leste kedudukan yang unik menjadi satu-satunya negara Asia Tenggara yang sepenuhnya menggunakan USD.

Namun rakyatnya tetap mengekalkan sebahagian identiti kewangan mereka melalui wang syiling Centavos dengan corak budaya tempatan yang terukir halus ibarat lambang bahawa di sebalik globalisasi, jati diri mereka masih utuh.

Di Meja Makan Timor: Rasa Yang Tidak Dilupakan

Bagi pengembara yang menjadikan makanan sebagai pintu masuk memahami sesebuah budaya, Timor-Leste menawarkan rasa yang menarik dan berbeza.

Pengaruh utama datang daripada warisan Portugis dan warisan tempatan. Hidangan seperti Ikan Saboko iaitu ikan segar dibungkus dalam daun pisang bersama rempah ratus dan kelapa parut, dibakar secara tradisional membuka selera dengan rasa bumi yang tulen.

Hidangan rebusan seperti Feijoada dan Calulu mencerminkan pengaruh kolonial manakala makanan jalanan seperti jagung bakar, ubi rebus dan roti kampung menggambarkan gaya hidup desa yang sederhana tapi mengenyangkan.

Namun yang paling membanggakan mereka adalah kopi Timor. Tanah tinggi seperti Ermera dan Maubisse menanam kopi organik yang mendapat tempat di pasaran antarabangsa tetapi di sini anda masih boleh menikmatinya secara ‘kampung’ dihasilkan secara tradisional, ditumbuk sendiri, dihidang dalam cawan porselin lusuh sambil berbual bersama tuan rumah yang penuh cerita.

Hidangan ikan pelbagai cara masakan tradisional dan moden adalah makanan popular di Timor-Leste.

Bahasa Dan Jiwa Rakyat

Bahasa rasmi negara ini ialah Tetum dan Portugis tetapi jangan terkejut jika anda terdengar Bahasa Indonesia masih digunakan terutama oleh generasi yang membesar sebelum merdeka.

Bahasa Inggeris juga semakin berkembang dalam sektor pelancongan dan pendidikan. Apa yang memikat ialah keramahan rakyatnya yang sering cuba berbual walau dengan bahasa isyarat satu bentuk komunikasi paling jujur.

Orang Timor terkenal dengan sikap sederhana, penyabar dan menghormati tetamu. Mereka tidak terburu-buru, tidak menjerit-jerit di jalanan.

Di pasar Dili atau kampung di Liquica, anda akan dapati waktu seakan bergerak lebih perlahan memberi ruang untuk menyerap kehidupan bukan sekadar melaluinya.

Pemandangan Yang Menghentikan Nafas

Setiap inci bumi Timor-Leste bagaikan lukisan hidup. Cristo Rei di Dili, patung besar Yesus Kristus yang berdiri megah di puncak bukit, menjadi ikon negara.

Anda perlu menaiki ratusan anak tangga untuk ke puncaknya namun pemandangan Teluk Dili dari atas adalah hadiah yang tidak ternilai.

Manakala Pulau Atauro yang terletak hanya 25 kilometer dari Dili adalah antara lokasi menyelam paling indah di dunia. Air lautnya jernih bak kaca dengan terumbu karang yang masih dara menjadi rumah kepada ribuan spesies marin.

Ia belum dikomersialkan sepenuhnya menjadikannya tempat terbaik untuk pelancong yang mendambakan kedamaian.

Kawasan pedalaman seperti Ermera, Aileu, dan Maubisse pula membawa anda ke alam desa dengan suhu dingin, ladang kopi teres yang menghijau dan perkampungan dengan rumah-rumah tradisional beratapkan daun lontar.

Di sini, anda akan temui kehidupan yang masih berpaut pada alam anak-anak bermain lumpur, wanita menenun kain dan lelaki berkumpul di balai sambil menghisap rokok daun.

Sebuah Perjalanan Yang Mengubah Perspektif

Bagi warga Malaysia, kehadiran lebih 150 rakyat negara ini yang berdaftar di Kedutaan Besar di Dili membuktikan hubungan dua hala yang terus berkembang. Kini dengan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Dili oleh Batik Air, Timor-Leste bukan lagi destinasi jauh yang sukar dicapai.

Namun lebih daripada sekadar destinasi pelancongan, Timor-Leste ialah cermin yang mencerminkan kepada kita erti kesederhanaan, keberanian, dan harapan.

Ia mengajar kita bahawa dalam dunia serba laju ini, masih ada tempat yang menyanjung tinggi nilai-nilai lama kehormatan kepada tetamu, kasih kepada tanah air dan kesyukuran atas apa yang ada.

Lebih Banyak Tempat Menarik Sekitar Dili

Jika anda ada masa tambahan, cuba juga:

Gecko Cafe di Railaco – tempat wajib untuk kopi pekat dengan udara pergunungan.

Dare Museum & Cafe – lokasi peringatan pendudukan Jepun, lengkap dengan kopi dan pemandangan hebat.

Sea Turtle Project di Kaitehu – lihat sendiri penetasan dan pelepasan anak penyu ke laut.

Aileu dan Maubisse – untuk pencinta alam dan pengembara, kawasan pergunungan ini sesuai untuk hiking dan perkhemahan.

Night Market di Timor Plaza – pasar malam yang sederhana tetapi penuh rasa tempatan.

Resistance Museum — memahami perjuangan rakyat Timor-Leste menentang penjajahan Indonesia dan Portugis.

Santa Cruz Cemetery — lokasi pembunuhan besar-besaran 1991 yang mengubah persepsi dunia terhadap perjuangan kemerdekaan Timor.

Chega! National Center — muzium bekas penjara dengan pameran berkaitan hak asasi manusia semasa penjajahan.

John Paul II Statue — tugu penghargaan kepada lawatan Paus Yohanes Paulus II pada 1989.

Tais Market — pasar seni tempatan di mana anda boleh membeli kain tenunan tradisional dan melihat proses menenun secara langsung.

Batik Air: Penerbangan Yang Menghubungkan Hati

Penerbangan dua kali seminggu oleh Batik Air Malaysia ke Dili  bukan sekadar membuka ruang untuk pelancongan tetapi turut memperkukuh hubungan dua hala antara rakyat Malaysia dan komuniti diaspora di Timor-Leste.

Seperti kata CEO Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, laluan ini bukan sekadar destinasi baru tetapi jambatan yang menyatukan masa depan bersama.

Timor-Leste Menanti Anda

Jika anda mencari destinasi yang belum sesak dengan pelancong yang menawarkan keaslian, budaya yang hidup dan keramahan luar biasa Timor-Leste adalah jawabannya.

Timor-Leste bukan sekadar negara kecil di peta sebaliknya pengalaman yang menyentuh hati, membuka mata dan kekal dalam ingatan. Kalau anda bersedia untuk perjalanan yang menyentuh jiwa, inilah tempatnya.

Dan kini, Batik Air sudah membuka pintu itu untuk anda. Jangan tunggu lama permata itu belum ramai yang tahu. Anda mungkin antara yang terawal merasai magisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast