Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Malaysia menaruh keyakinan penuh terhadap integriti sistem kehakiman Perancis apabila Mahkamah Rayuan Paris menangguhkan pengumuman keputusan berkaitan pembatalan anugerah timbang tara AS$14.9 bilion yang difailkan oleh individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Keputusan itu yang dijangka diumumkan pada 9 Disember 2025, susulan prosiding pendengaran pada 7 Julai lalu, dianggap penting bagi menamatkan sepenuhnya tuntutan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan menyalahgunakan sistem timbang tara antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa Malaysia melihat perkembangan ini sebagai peluang untuk memastikan sebarang percubaan memperalatkan sistem perundangan global demi kepentingan pihak tertentu dapat dibendung.

“Malaysia menzahirkan keyakinan penuh terhadap proses kehakiman Mahkamah Rayuan Paris serta keputusan yang bakal diumum. Kita percaya ia bakal membawa pengakhiran muktamad terhadap tuntutan kumpulan Sulu,” kata Azalina.

Menurutnya, Malaysia juga terus memperjuangkan pembentukan kerangka global lebih telus dalam pembiayaan litigasi oleh pihak ketiga bagi mengelak sebarang eksploitasi terhadap mekanisme akses keadilan oleh entiti yang menyasarkan negara berdaulat.

Tuntutan tersebut berpunca daripada pertikaian sejarah melibatkan perjanjian 1878 antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Borneo Utara.

Malaysia menghentikan bayaran tahunan kepada pihak mendakwa sebagai waris selepas insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Kumpulan lapan warga Filipina kemudiannya memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol dan pada 28 Februari 2022, penimbang tara kontroversi Gonzalo Stampa mengeluarkan award muktamad berjumlah AS$14.9 bilion walaupun pelantikannya telah dibatalkan oleh mahkamah di Madrid.

Mahkamah Perancis kemudiannya menolak penguatkuasaan award separa itu dan Mahkamah Kasasi Perancis pada 6 November 2024 mengesahkan keputusan tersebut.

Lebih penting lagi, Mahkamah Rayuan Perancis turut mensabitkan Stampa atas kesalahan menghina mahkamah.

Azalina menegaskan bahawa kemenangan Malaysia di mahkamah-mahkamah Eropah menunjukkan kedudukan undang-undang negara semakin kukuh dalam menangkis dakwaan yang tidak sah terhadap kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

Sebelum ini, kerajaan turut mendedahkan tuntutan Sulu dibiayai oleh firma litigasi berpangkalan di London, Therium sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan agenda sebenar di sebalik tuntutan berbilion dolar itu.

“Integriti timbang tara antarabangsa mesti dipelihara daripada cubaan memaksa negara berdaulat melalui tuntutan timbang tara tidak berasas. Malaysia akan terus mempertahankan hak dan kedaulatan negara di semua medan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast