KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menegaskan kedudukan seorang Perdana Menteri tidak ditentukan oleh demonstrasi jalanan, tetapi oleh sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Mengulas ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Himpunan Mandat Negarawan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada 17 Julai lalu, Kadir berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu menyatakan pemimpin nombor satu negara boleh ditukar tanpa perlu menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) adalah hakikat sistem demokrasi berparlimen Malaysia.
“PRU bukan untuk memilih Perdana Menteri atau parti. Ia adalah untuk memilih Ahli Dewan Rakyat. Daripada kalangan merekalah seorang akan dipilih menjadi Perdana Menteri.
“Seorang Perdana Menteri boleh digantikan pada bila-bila masa sekiranya hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat atau terbabit dalam jenayah besar,” katanya yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam laman sosial beliau.
Kadir turut mengimbas sejarah politik termasuk kejatuhan Dr. Mahathir pada 2020 apabila sebahagian besar Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada gabungan bersama Pas dan UMNO, sekali gus membuka laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, tidak lama selepas itu, Muhyiddin pula kehilangan kuasa apabila UMNO menarik balik sokongan, menyaksikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Anwar tidak menang PRU15. PH yang dipimpinnya tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan. Sekali lagi, UMNO mengubah pendirian dan menyokong PH serta Anwar, membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Mengulas mengenai kempen ‘Turun Anwar’ yang sedang dijalankan pembangkang, Kadir berkata, kempen tersebut secara sendiri tidak akan menjatuhkan Anwar melainkan berlaku perubahan sokongan dalam Parlimen.
“Sehingga PRU diadakan, hanya ada satu cara untuk menurunkan Anwar iaitu dengan menghapuskan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat kepadanya.
“Kalau ada mana-mana pihak boleh membuktikan secara sahih bahawa mereka mempunyai sekurang-kurangnya 112 sokongan, maka jatuhlah Anwar,” jelasnya.
Beliau turut memetik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Anwar kini disokong oleh 154 Ahli Parlimen menjadikan usaha menjatuhkannya melalui Parlimen satu cabaran besar, jika tidak mustahil.
“Perhimpunan seperti ‘Turun Anwar’ lebih relevan sebagai strategi pembangkang menghadapi PRU akan datang yang wajib diadakan sebelum 17 Februari 2028,” katanya.
Dalam pada itu, Kadir tidak menjangkakan Perdana Menteri akan mengambil tindakan keras terhadap penentangnya termasuk dari kem Rafizi Ramli, kerana langkah itu hanya akan menjejaskan imej beliau sebagai reformis.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan tindakan akan tetap diambil oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kesimpulannya, segala himpunan dan tunjuk perasaan tidak akan menggugat kedudukan Anwar selagi majoriti Ahli Dewan Rakyat berdiri di belakangnya.
“Tetapi jika perhimpunan itu menyebabkan penyokongnya berpaling tadah, maka kemungkinan beliau hilang majoriti dan perlu berundur tidak boleh diketepikan begitu sahaja,” katanya. -MalaysiaGazette
















