Tangkap layar yang menunjukkan Honda Civic terbabas sebelum melanggar empat kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan di Taman Sri Gombak, semalam.

KUALA LUMPUR – Empat buah kenderaan mengalami kerosakan selepas sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipandu warga emas terbabas dan melanggar kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan di Taman Sri Gombak, Gombak, kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian berlaku ketika lelaki tempatan berusia 68 tahun itu dalam perjalanan dari arah Jalan Tun Razak menuju ke Sri Gombak.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu cuba mengelak seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan sebelum hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kenderaan lain yang diparkir di lokasi kejadian.

“Akibat pelanggaran tersebut, kesemua empat buah kenderaan termasuk milik pemandu mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pemandu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes kini disiasat di bawah Kaedah 10, LN 166/59.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Sazila Yusuf di talian 013-3083696 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-61262222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast