IPF menyatakan pendirian untuk tidak menyokong atau menyertai Kempen ‘Turun Anwar’ minggu hadapan.

KUALA LUMPUR – Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) tidak menyokong kempen ‘Turun Anwar’ yang digerakkan pihak tertentu kerana ia bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kestabilan negara.

Setiausaha Agungnya, Mohan Muthusamy berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara pada Mesyuarat Majlis Tertinggi parti bagi menzahirkan komitmen IPF sebagai parti komponen yang mendukung kerajaan perpaduan.

“IPF berpandangan bahawa kestabilan politik adalah teras kepada usaha membina semula ekonomi, menjaga kebajikan rakyat serta memastikan keharmonian antara kaum terus terpelihara.

“Sebarang tindakan yang menggugat kepimpinan kerajaan yang dipilih secara sah melalui cara tidak konstruktif adalah tidak selari dengan semangat demokrasi,” katanya hari ini.

Sebagai parti dalam kelompok ‘Friends of Barisan’,  IPF akan terus memberi tumpuan kepada memperjuangkan kepentingan masyarakat India di Malaysia, di samping bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan dalam menjayakan agenda Malaysia Madani. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast