JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun ditahan kerana menghalang tugas polis dan memandu di bawah pengaruh alkohol, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang di Jalan Riang Utama, di sini apabila kereta yang dipandu oleh suspek terbabas masuk ke dalam sebuah restoran.
Suspek kemudian mengundurkan kenderaanya tetapi terlanggar beberapa motosikal yang di parkir di depan restoran.
Pemandu yang panik itu kemudian bergerak ke depan dan melanggar sebuah Proton Persona yang diletakkan di bahu jalan.
Menurutnya, orang awam yang melihat kejadian itu cuba menghentikan kereta berkenaan namun tidak berjaya apabila suspek melarikan diri.
Berdasarkan maklumat awam, polis telah mengesan pemandu berkenaan dan terserempak dengan kereta berkenaan di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling.
“Polis telah mengarahkan pemandu berhenti namun dia enggan.
“Setibanya di Kilometer 8, Lebuhraya Pasir Gudang, suspek memberhentikan kereta lalu melintas ke seberang jalan dan kemudian memanjat pagar sempadan Jalan Dewani/Jalan Kangkar Tebrau di Lebuhraya Utara Selatan dan nekad terjun daripada tembok ketinggian dua meter,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun suspek berjaya ditahan dalam keadaan lemah dan cedera.
Dia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk diraway dan diambil sampel darah.
Raub berkata, lelaki itu akan disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Selain itu dia disiasat di bawah Seksyen 44(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alcohol atau dadah hingga menyebabkan kemalangan dan Seksyen 26(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lessen. – MalaysiaGazette















